Perikatan Nasional (PN) dilihat perlu menggantikan ketua pembangkang yang kini disandang oleh Hamzah Zainudin, kata Naib Ketua Pemuda Amanah, Ammar Atan.

Ini kerana katanya, ahli Parlimen Larut itu hanya sibuk berpolitik tanpa mengambil kira kepentingan ahli-ahli Parlimen PN keseluruhannya.

Ammar Atan

Malah menurutnya, tindakan empat ahli parlimen PN menyatakan sokongan mereka terhadap kerajaan perpaduan adalah akibat kelemahan pimpinan PN sendiri yang masih angkuh untuk berbincang secara matang dengan kerajaan hari ini.

"Ia juga menunjukkan bahawa mereka sudah hilang kepercayaan terhadap Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.

"Memandangkan keempat-empat ahli parlimen tersebut (Gua Musang, Jeli, Kuala Kangsar dan Labuan) datang daripada parti berkenaan, saya tidak terkejut jika lebih ramai ahli Parlimen Bersatu mula menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada hari-hari mendatang.

"Tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia, kerajaan pemerintah dengan terbuka membuka pintu kerjasama dalam hal peruntukan khas kepada ahli parlimen pembangkang. Hatta semasa Muhyiddin berkuasa dahulu, mereka langsung tidak mahu bekerjasama," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dia berkata demikian sebagai mengulas trend peralihan sokongan ahli-ahli Parlimen PN terbabit kepada pentadbiran Anwar.

Hamzah Zainudin

Mengulas lanjut, Ammar berkata Hamzah perlu diganti dan pihaknya menyarankan agar jawatan ketua pembangkang diberikan kepada ahli Parlimen Ketereh, Khlir Mohd Nor.

"Mungkin juga sudah tiba masanya, ahli-ahli parlimen PN menggantikan ketua pembangkang yang hanya sibuk berpolitik 24 jam tanpa mengambil kira kepentingan ahli-ahli parlimen PN keseluruhannya.

"Tidak salah untuk saya mencadangkan ahli Parlimen Ketereh, Khlir Mohd Nor yang sangat tegas dan jelas dalam isu ini," ujarnya.

Khlir Mohd Nor

Untuk rekod, Khlir sebelum ini antara individu yang menarik perhatian umum dalam memperjuangkan peruntukan khas kepada ahli-ahli parlimen pembangkang.

Dia yang juga bekas pegawai tinggi tentera mendedahkan terpaksa menggunakan duit sendiri untuk memberi 'sedekah' ketika menziarahi kematian dalam kawasannya.

Khlir juga berkata pejabat pusat khidmatnya juga tidak dapat beroperasi kerana tidak mempunyai peruntukan untuk berbuat demikian.

Oleh itu, dia berharap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dapat berlaku adil kepada semua ahli Parlimen pembangkang dengan memberi peruntukan sewajarnya.

Sementara itu, Ammar menyeru ahli-ahli Parlimen PN untuk bangkit lebih tegas dan menekan pimpinan utama mereka khususnya Hamzah supaya segera dilaksanakan perbincangan bersama pihak kerajaan.

Hakikatnya katanya, jika perbincangan telah berlaku awal tahun ini, pasti isu perpecahan PN tidak akan berlaku, kerana pimpinan Anwar bersedia untuk bekerjasama dengan terbuka.

"Ini adalah dana peruntukan khas dan bukannya hak ahli parlimen, serta tidak termaktub dalam mana-mana peraturan kewangan negara.

"Sudah-sudahlah berpolitik, jangan disalahkan perdana menteri kerana sedia menerima kerjasama segelintir ahli parlimen tertentu, tetapi cermin diri dahulu, mengapa anda terlalu angkuh dan sombong untuk berbincang? Khuatir maruah hilang? Atau sengaja mahu timbulkan persepsi bahawa kerajaan ini zalim?" soalnya.