Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mendesak kerajaan membebaskan atau mendakwa kesemua 40 tahanan ISA yang didakwa anggota Jemaah Islamiyah (JI), ekoran kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bahawa pergerakan JI tidak wujud di Malaysia.

Menurut Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh, Musa dilaporkan membuat kenyataan tersebut dalam akhbar Berita Minggu pada 10 Jun 2007.

"Mengikut pemantauan GMI, sehingga Disember 2006, terdapat sekurang-kurangnya 40 tahanan ISA di Kem Tahanan Kamunting yang didakwa anggota JI," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, ramai daripada mereka pada awalnya ditahan kerana disyaki menjadi anggota KMM (Kumpulan Militan Malaysia), tetapi surat tangkapan mereka kemudiannya menuduh mereka sebagai anggota JI.

"Mereka adalah rakyat Malaysia, tinggal di Malaysia, bekerja di Malaysia dan mempunyai keluarga di Malaysia.

"Kenyataan Musa itu menimbulkan persoalan mengapa tahanan ISA itu dituduh terbabit dengan JI. Mereka didakwa sebahagian daripada rangkaian keganasan yang ada kaitan dengan Al-Qaeda yang tidak pernah dibuktikan di mahkamah," katanya.

Syed Ibrahim berkata, kenyataan Musa itu adalah bukti jelas bahawa JI hanya digunakan sebagai alasan oleh kerajaan untuk mengesahkan undang-undang tersebut dan terus aktif dalam kempen memerangi keganasan yang diketuai oleh Amerika Syarikat.

Langgar hak asasi

GMI juga, katanya, mengecam penggunaan ISA di Singapura untuk menahan lima militan Islam tanpa bicara.

"Sekali lagi GMI ingin mengingatkan kerajaan bahawa penahanan di bawah ISA adalah melanggar hak suspek untuk dibicarakan dan oleh itu melanggar hak asasi manusia," tegasnya.

Tahanan, tambahnya, telah dinafikan hak untuk mempertahankan diri terhadap tuduhan ke atas mereka di mahkamah terbuka.

Sebaliknya, kata Syed Ibrahim, mereka dikenakan hukuman keras sebelum dibuktikan bersalah melalui bukti-bukti yang dikemukakan di mahkamah.

Oleh itu, katanya, GMI menggesa kerajaan Malaysia dan Singapura supaya membebaskan atau mendakwa kesemua tahanan ISA.

"Kerajaan harus memansuhkan amalan menahan tanpa bicara, yang bercanggah dengan Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia," katanya sambil menggesa supaya ISA dimansuhkan dan Kem Tahanan Kamunting ditutup.