Bekalan gula terjejas disebabkan masalah logistik - KPDN P Pinang
Laporan bekalan gula habis seperti yang berlaku semalam adalah disebabkan masalah logistik, bukannya kerana ketiadaan bekalan, kata Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang S. Jegan.
Beliau berkata situasi itu hanya membabitkan kawasan di Bukit Mertajam, justeru orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat pembelian panik kerana bekalan gula di negeri ini sentiasa mencukupi.
"Gula cukup, jangan panik. Stok gula terputus seketika semalam kerana lori menghadapi masalah dan tidak dapat membuat penghantaran seperti dijadualkan.
"Dalam hal ini, saya minta supaya pasar raya terutamanya dapat mengambil iktibar ... jangan biar sehingga stok tak ada kerana bila berlaku perkara sebegini pengguna akan menyangka bekalan gula terputus dan mula melakukan pembelian panik," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2023 Peringkat Negeri Pulau Pinang di Bukit Mertajam hari ini.
Sementara itu, bermula 1 Jan hingga semalam sebanyak 44,674 premis telah diperiksa di seluruh negeri dan 744 diambil tindakan atas pelbagai kesalahan membabitkan sitaan berjumlah RM3.12 juta dan kompaun sebanyak RM607,900.
"Dalam tempoh sama juga, sebanyak 2,023 aduan telah diterima dan 384 daripada membabitkan harga barangan dan perkhidmatan, 131 bekalan barang kawalan dan selebihnya lain-lain aduan," katanya dan menambah 355 Jualan Rahmah diadakan di 13 Parlimen dan 40 Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini yang menarik 364,440 pengunjung dengan nilai jualan telah mencecah RM11.8 juta setakat ini.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/07/77ed78ba824c66f0951f5980c0065e68.jpg)
