Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP Bkt Gantang: Jika dapat dana RM30 juta, saya sokong k’jaan Madani

PARLIMEN l Seorang lagi ahli parlimen pembangkang menyatakan secara terbuka kesediaannya untuk menyokong kerajaan 'Madani' pimpinan Anwar Ibrahim jika Putrajaya boleh memperuntukkan dana yang mencukupi untuk kawasannya.

Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Perikatan Nasional-Bukit Gantang) memaklumkan kepada Dewan Rakyat petang ini bahawa dia berharap untuk mendapatkan kira-kira RM30 juta bagi kawasan di kerusi parlimennya di Perak di bawah Belanjawan 2024.

Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PN-Bukit Gantang)

Jumlah itu berdasarkan beberapa siri projek dan inisiatif yang dirancang untuk Bukit Gantang. Antara lain, termasuk cadangan menaik taraf Pusat Giat Mara, membaiki 35 Tabika Kemas, dan pemasangan lampu jalan di kampung-kampung di situ.

“Saya dengan ikhlas menyampaikan suara pengundi dan penduduk Bukit Gantang kepada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (Ahmad Zahid Hamidi).

“Dengan hati yang ikhlas, kalau diluluskan RM30 juta ini, saya juga nak melihat sejauh mana kerajaan Madani ini adil dalam memberikan peruntukan.

“Dalam Dewan yang mulia ini saya mohon jika saya dapat peruntukan ini untuk membangunkan kawasan saya, saya kana berikan sokongan kepada YAB Datuk Seri dan kerajaan Madani,” katanya.

Syed Abu Hussin membuat kenyataan itu ketika membahaskan Rang Undang-undang Belanjawan 2024 di Peringkat Jawatankuasa Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Kenyataannya itu mengejutkan ahli parlimen dari kedua-dua pihak, termasuk Sabri Azit (PN-Jerai) yang duduk di belakangnya kelihatan seperti tidak percaya apa yang diluahkannya itu.

Sehingga kini, seramai empat ahli Parlimen Bersatu telah menyatakan sokongan mereka kepada kepimpinan Anwar.

Mereka ialah Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), dan Zahari Kechik (Jeli).

Susulan itu, pengerusi PN Muhyiddin Yassin mendakwa terdapat gerakan terancang daripada parti lawan yang menggunakan sogokan dan ugutan terhadap ahli-ahli Parlimen pembangkang.

Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu akan mengadakan mesyuarat tergempar malam ini untuk membincangkan tindakan mereka itu.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS