Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Buli: Mara tak kompromi walaupun pelaku anak VVIP - Asyraf
Diterbitkan:  Nov 10, 2023 8:30 AM
Dikemaskini: 12:30 AM

Pengerusi Mara, Asyraf Wajdi Dusuki berkata pihaknya tidak akan berkompromi terhadap kes buli yang berlaku di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) meskipun pelakunya membabitkan anak kenamaan.

"Maaf mara tidak akan sesekali berkompromi dengan apa jua bentuk kes buli di MRSM, jauh sekali untuk menutup sebarang perilaku curang.

"Biarlah anak VIP atau VVVIP mana sekalipun, you touch you go!" katanya dalam hantaran di Facebook semalam.

Hantaran itu dilihat sebagai respons terhadap kes buli yang didakwa berlaku di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) baru-baru ini.

Ini selepas Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) MCKK menyelar keluarga pelajar tingkatan empat sekolah berasrama itu kerana menularkan kejadian itu di media sosial.

Asyraf dalam komen pada hantaran Facebooknya meminta mana-mana ibu-bapa yang anak mereka menjadi mangsa buli supaya memaklumkan kepadanya sekira pihak pentadbir MRSM cuba menutup kes tersebut.

"MRSM sejak sekian lama telah banyak melahirkan generasi yang holistik bukan sahaja berilmu tetapi juga diberikan penekanan soal adab, akhlak dan nilai.

"Perlakuan buli jika dibenarkan berleluasa tanpa tindakan tegas tentu sekali akan merencatkan segala usaha untuk membentuk peribadi generasi yang diharapkan mampu menggalas amanah besar apabila mereka terjun dalam realiti masyarakat sebenar akan datang.

"Malah manusia sebeginilah yang apabila memimpin mana-mana organisasi akan datang akan hilang nilai menghormati orang bawahan bahkan sewenangnya menindas tanpa rasa kasihan belas dan nilai keprihatinan manusiawi," katanya.

Sementara itu, di ruangan komen pada hantaran Asyraf, seorang penjaga mengadu kes buli terhadap anaknya yang didakwa berlaku di sebuah MRSM.

Asyraf kemudian bertanya MRSM yang terlibat kepada penjaga tersebut.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklumat lanjut mengenai aduan tersebut daripada Asyraf.

Lihat Komen
ADS