Kementerian Penerangan amat kesal dengan pembatalan majlis Anugerah Sri Angkasa 2006 ekoran kegagalan pihak penganjur untuk mendapatkan penajaan untuk menampung kos penerbitan dan hadiah bagi anugerah berprestij itu.

Timbalan Menteri Penerangan Datuk Ahmad Zahid Hamidi berkata, anugerah itu dibatalkan selepas penganjurnya, TV9, yang mewakili Media Prima, gagal mendapatkan penajaan, demikian menurut laporan Bernama.

Katanya, pihak Astro telah berjaya menganjurkan majlis penyampaian anugerah tersebut dengan baik pada tahun lalu," katanya.

"Penganjuran majlis penyampaian anugerah tersebut akan diserahkan kepada RTM tahun depan," katanya ketika membuat pengumuman mengenai pembatalan anugerah itu kepada media di Angkasapuri hari ini.

Katanya, walaupun Anugerah Seri Angkasa diperkenalkan oleh Kementerian Penerangan bagi menghargai semua warga stesen penyiaran, tetapi ia bukan lagi hak RTM, tetapi sebaliknya hak semua stesen penyiaran dalam negara, di mana penganjuran kini dijalankan secara bergilir-gilir.

Pengamal media penyiaran

Ahmad Zahid berkata, keputusan membatalkan penganjuran anugerah itu pada tahun ini diambil atas kesedaran bahawa kini sudah ada banyak anugerah yang disediakan untuk mengiktiraf pengamal media penyiaran.

Beliau juga ditanya mengapa kerajaan tidak menghulurkan bantuan untuk menjayakan majlis penyampaian anugerah tersebut.

Ahmad Zahid berkata, secara prinsipnya semua usaha untuk mendapatkan penajaan dijalankan oleh pihak penganjur sendiri.

"Kalau RTM, sebuah stesen kerajaan yang dikatakan tidak mempunyai wang

untuk menganjurkan majlis tersebut (tapi) boleh melakukannya, tidak

mustahil stesen swasta yang mempunyai keuntungan besar (juga) mampu

menganjurkannya," katanya.

Menurutnya, sebarang kejayaan dan kelemahan penganjuran majlis itu tidak lagi boleh ditujukan kepada RTM semata-mata, sebaliknya turut membabitkan semua stesen penyiaran.