Pemuda Amanah Sabah pelawa bukan Muslim dialog isu Palestin
Ketua Pemuda Amanah Sabah, Rendy Ismail mempelawa golongan bukan Muslim mengadakan sesi dialog mengenai konflik yang berlaku di Gaza, Palestin.
Rendy berkata, pelawaan itu dibuat selepas dia mendapati ada di kalangan bukan Muslim khususnya di Sabah mempertikai usaha kerajaan dalam menyelesaikan krisis berkenaan.
"Kempen yang dibuat secara besar-besaran juga telah mengundang pelbagai reaksi negatif.
"Himpunan besar-besaran yang dilancarkan, kempen melalui penulisan dan penyebaran di media sosial, serta perkongsian ramai pihak tentang Palestin mungkin telah mengganggu sebilangan non-Muslim yang tidak faham tentang isu sebenar yang diperjuangkan.
"Ada yang beranggapan ini isu agama. Maka ada di antara mereka yang menyokong Israel. Ada juga yang mempertikai kempen boikot. Maka ada di antara mereka yang bersikap sinis dan menentang kempen tersebut," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sebelum ini Minggu Solidariti Palestin yang dianjurkan di sekolah dan institusi pendidikan awam menerima kritikan apabila ada sekolah rendah mempamerkan penggunaan senjata mainan di kalangan murid ketika program itu berlangsung.
Berikutan itu seramai 12 wakil rakyat PKR yang kesemuanya terdiri daripada bukan Muslim meminta program itu dikaji semula supaya bebas daripada unsur "kebencian dan keganasan".
DAP juga meminta Kementerian Pendidikan mengambil tindakan tatatertib terhadap pihak sekolah yang membenarkan unsur keganasan dan ekstremisme dengan penggunaan senjata mainan di sekolah.

Bagaimanapun selepas menerima kecaman daripada pemimpin PAS dan Umno, wakil rakyat PKR berkenaan menjelaskan bahawa pendirian mereka telah disalah tafsir.
Mereka berkata kebimbangan terhadap apa yang disifatkan sebagai unsur ekstremisme itu tidak seharusnya dilihat sebagai menentang Palestin mahupun menyokong Israel.
Sementara itu, kempen untuk memboikot syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan Israel juga mencetuskan polemik di kalangan rakyat Malaysia.
Dialog untuk capai kesepakatan
Kata Rendy, dia amat risau sekiranya isu Palestin yang panas kebelakangan ini digarap secara emosi yang akhirnya mungkin boleh membawa kepada kebencian di kalangan masyarakat.
"Saya tidak menafikan ada juga non-muslim yang menyokong Palestin, tapi itu bukan fokus saya.
“Saya lebih suka sekiranya dapat berdialog dengan mereka agar kesepakatan tentang isu ini dapat dicapai.

Rendy berkata di negara barat seperti Ireland, penduduknya secara terbuka menyokong perjuangan rakyat Palestin.
Baca: Parlimen Ireland dijangka bahas usul usir Duta Israel
"Saya yakin ada sesuatu yang boleh disampaikan agar mereka jelas dan terang apa sebenarnya yang diperjuangkan dalam isu Palestin ini.
"Perang yang berlaku di Palestin bukan baru. Menjadi tanggungjawab saya untuk menyatakan kebenaran dan memahamkan semua pihak tentang isu ini terutamanya kepada non-Muslim di Sabah," jelasnya.

Serangan bertali arus dilakukan rejim Israel mendorong situasi di Gaza kian memburuk sejak perang meletus pada 7 Okt lalu antara tentera Zionis dan pejuang Hamas.
Kementerian Kesihatan Palestin merekodkan angka kematian terkini ekoran serangan Israel di Semenanjung Gaza meningkat kepada 11,078 orang.
Jurucakap kementerian itu, Ashraf al-Qudra, berkata jumlah terkorban termasuk 4,506 kanak-kanak, 3,027 wanita, 678 warga emas manakala 27,490 orang lagi cedera.
Konflik Palestin- Israel berlarutan berpuluh tahun lamanya sejak tertubuhnya negara haram Israel pada 1947 melalui perjanjian Balfour.
Hasil perjanjian persempadanan yang dimeterai pada 1967 selepas perang Arab-Israel juga tidak dipatuhi apabila rejim Zionis berterusan menceroboh dan merampas tanah yang diduduki penduduk Palestin, dengan restu Amerika Syarikat dan sekutunya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/10/31dbdccc633da5625e5937091b96aa74.jpg)
