PKR: Bekas ketua Merbok hilang jawatan kerana muflis
Pemimpin pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) kesal dengan tindakan bekas ketua Bahagian PKR Merbok, Mustafa Khalid Hanafi, yang mendakwa beberapa ahli jawatankuasa (AJK) akan keluar parti tidak lama lagi, dan diikuti sebahagian besar daripada kira-kira 3,000 ahli bahagian tersebut.
Pemimpin pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) kesal dengan tindakan bekas ketua Bahagian PKR Merbok, Mustafa Khalid Hanafi, yang mendakwa beberapa ahli jawatankuasa (AJK) akan keluar parti tidak lama lagi, dan diikuti sebahagian besar daripada kira-kira 3,000 ahli bahagian tersebut.
Ketua Penerangan PKR, Tian Chua membidas kebenaran kenyataan Mustafa yang dilaporkan akhbar internet malaysiakini semalam.
"Dakwaanya bahawa dia letak jawatan tidak benar, Mustafa telah didapati hilang kelayakan untuk mengetuai bahagian Merbok kerana dia muflis," kata Chua dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh biro penerangan parti itu hari ini.
Menurut Chua, kes muflis tersebut telah diketahui pemimpin pusat sebelum kongres kebangsaan diadakan dan Mustafa telah diminta mengosongkan jawatan tersebut.
Ketua PKR Kedah, Johari Abdul, turut mengecam tindakan Mustafa yang menurutnya tidak jujur itu.
"Semua yang dikatakannya itu palsu. Dia tidak letak jawatan, dia hilang kelayakan." tegas Johari.
Turun padang
Mengulas keadaan PKR di Kedah, Tian Chua mengumpamakan negeri tersebut sebagai kubu parti dan menyangkal desas-desus yang cuba menggambarkan suatu krisis sedang berlaku di sana.
"Pemimpin pusat akan turun padang sendiri untuk menyusun semula struktur dan strategi Keadilan di Kedah dalam masa yang terdekat," katanya.
Berkaitan isu Baling, di mana bekas ketuanya Radzi Md Lazim mendakwa bahagian itu akan dibubarkan, Johari berkata, perkara pembubaran tidak timbul sama sekali.
"Sama ada Radzi keluar parti tidak ada kesan terhadap Keadilan di Baling, dia tidak ada hak untuk membubarkan mana-mana bahagian," kata Johari.
Secara rasminya, Bahagian Baling masih belum didaftarkan oleh Pendaftar Pertubuhan dan hanya beroperasi sebagai penaja.
PKR mempunyai sembilan bahagian berdaftar di Kedah, dan enam lagi (termasuk Baling) masih dalam peringkat penaja.
Reaksi Mustafa
Sementara itu, ketika dihubungi malaysiakini, Mustafa menjelaskan beliau belum diisytiharkan muflis sebaliknya kesnya masih dalam perbicaraan di mahkamah.
"Ini bermakna saya belum muflis, kes tersebut belum diputuskan oleh mahkamah," katanya ketika diminta mengulas kenyataan Chua bahawa beliau hilang kelayakan kerana muflis
Beliau juga mendakwa, ibu pejabat PKR tidak pernah menghantar surat mengarahkan beliau mengosongkan jawatan ketua bahagian Merbok ekoran kes mahkamah yang dihadapinya itu.

