Khabar angin tersebar Razak mungkin dibebaskan, Anwar minta penjelasan AG
Tuduhan terhadap penganalisa politik, Abdul Razak Baginda dan seorang lagi tertuduh mungkin digugurkan apabila perbicaraan pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu disambung Isnin depan.
Tuduhan terhadap penganalisa politik, Abdul Razak Baginda dan seorang lagi tertuduh mungkin digugurkan apabila perbicaraan pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu disambung Isnin depan.
Itulah antara spekulasi yang tersebar berhubung perbicaraan kes tersebut sepertimana yang ditimbulkan oleh Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim di pejabatnya di Petaling Jaya hari ini.
"Malah, kemungkinan hakim perbicaraan ditukar sekali lagi dan semua tindakan itu adalah untuk menghalang fakta-fakta tertentu muncul, yang mungkin mengaibkan seorang menteri," katanya.
Sehubungan itu, bekas Timbalan Perdana Menteri meminta Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail menjawab isu-isu tersebut dan menangani spekulasi yang timbul itu.
Menurut Anwar, spekulasi seumpama itu perlu dipandang berat kerana yang sebelum ini telah terbukti benar.
"Sepertimana khabar angin hakim ditukar terbukti betul, khabar angina pertukaran pendakwaraya juga terbukti betul, khabar angin peguam Zulkifli Nordin (peguam salah seorang tertuduh) akan menarik diri, juga terbukti betul," katanya.
Perbicaraan pembunuhan Altantuya dijadual bermula 4 Jun lalu tetapi ditangguhkan selepas pasukan pendakwarayanya ditukar pada saat akhir. Tun Majid Tun Hamzah yang mengetuai pasukan pendakwaraya yang baru, memohon kes itu ditangguhkan kerana beliau baru dilantik dan perlu mengkaji lebih 100 kertas siasatan.
Belum terjawab
Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail menjelaskan bahawa Timbalan Pendakwaraya sebelumnya, Salehudin Saidin diganti kerana didapati bermain badminton dengan hakim yang mendengar kes tersebut, Datuk Mohd Zaki Mohd Yasin.
Anwar menyifatkan penjelasan Peguam Negara itu sebagai "sudah basi dan tidak lojik".
"Siapa yang akan percaya permainan badminton tahun lalu secara tiba-tiba menjadi isu besar dan tindakan diambil pada saat-saat akhir?" soalnya.
Beliau menegaskan, masih banyak persoalan yang belum dijawab, termasuk kemungkinan pembabitan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Saya tidak mendesak Najib meletakkan jawatan. Saya hanya memintanya menjawab. Saya meminta ketelusan dan perbicaraan yang adil," katanya.
Juga belum dijawab ialah mengapa laporan awal media yang menyebut Altantuya adalah seorang Islam, secara tiba-tiba dihentikan.
"Mesti ada sebab mengapa dia ada nama Islam. Apakah dia telah bertunang atau telah berkahwin? Adakah dia memeluk Islam atas kerelaannya hatinya? Apakah dia dipujuk (berbuat demikian)? Isu ini tiba-tiba ditutup," katanya.
Nama Islam
Apabila berita mengenai kematian Altantuya tersebar, pihak akhbar merujuk kepadanya sebagai Aminah Abdullah.
Anwar juga memberitahu bahawa bapa Altantuya Dr Sharriibuu Setev telah menghubunginya untuk menyuarakan kekecewaannya tentang cara perbicaraan dijalankan.
Sebelum itu, ketika bercakap dalam satu sidang akhbar, Shaariibuu mendakwa anak perempuannya dibunuh kerana "dia tahu terlalu banyak".
"Ia bukanlah satu hubungan cinta biasa...Razak takutkan sesuatu, dia (Altantuya) tahu mengenainyatetapi saya tidak tahu apa dia," katanya berulangkali.
Beliau berkata, jika perbicaraan Isnin ini ditangguh, maka ia membuktikan wujudnya campurtangan politik.
"Polis sudah sedia. Saksi juga sudah sedia. Sudah lapan bulan berlalu sejak Altantuya dibunuh. Jadi mengapa berlaku kelewatan? Hanya campurtangan politik yang boleh menyebabkan masalah ini berlaku," tegasnya.
Dua anggota polis, Cif Inspektor Azilah Hadri, 30, Koperal Sirul Azhar Umar, 35, dari Unit Tindakan Khas (UTK) dituduh membunuh Altantuya manakala Abdul Razak, 46, dituduh bersuhabat dalam pembunuhan itu.
Kedua-dua anggota polis itu didakwa membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja, Selangor antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.
Abdul Razak pula didakwa bersubahat di pejabatnya di Tingkat 10, Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang Kuala Lumpur antara jam 9.54 pagi dan 10.05 pagi 18 Oktober tahun lalu.
Cebisan mayat Altantuya ditemui di kawasan hutan di Puncak Alam, Shah Alam, pada 7 November tahun lalu. Ketiga-tiga tertuduh menghadapi hukuman mati jika sabit kesalahan. Berita asal

