Tentera Israel mendakwa mereka telah merampas kawalan lebih luas di utara Gaza termasuk mengawal Gaza City setelah menewaskan kumpulan pejuang Hamas.

Perkara itu disampaikan oleh Menteri Pertahanan, Yoav Gallant selepas membuat penilaian terhadap perang yang tercetus.

“Hamas tidak mempunyai kekuatan untuk menghentikan IDF (tentera Israel). IDF menuju ke semua lokasi. Hamas sudah hilang kawalan terhadap Gaza.

“Mereka (penduduk Gaza) juga sudah tidak percaya dengan Hamas,” katanya kepada media.

Gallant juga mengesahkan bahawa pengepungan dan serangan terhadap Hospital al-Shifa dilakukan kerana ia merupakan tempat kumpulan pejuang Hamas berlindung.

Sementara itu, media tempatan memetik seorang komander Israel di Gaza, yang hanya dikenali sebagai Lt Kol Gilad, sebagai berkata tenteranya berhampiran Hospital Al Shifa telah merampas bangunan kerajaan, sekolah dan bangunan kediaman.

Dia juga tentera Israel (IDF) telah menawan badan perundangan, ibu pejabat polis Hamas dan kawasan yang menempatkan ibu pejabat perisikan tentera Hamas.

Bangunan-bangunan itu adalah simbol yang kuat, tetapi nilai strategiknya tidak jelas. Di dalam beberapa bangunan yang ditawan, tentera mengangkat bendera Israel dan bendera tentera bagi meraikan kemenangan mereka.

Di sebalik kejayaan menawan bangunan berkenaan, pejuang Hamas dipercayai masih bersembunyi di kubu bawah tanah.