ULASAN | Amanah: Menelusuri kepimpinan dinamik
Amanah yang ditubuhkan pada tahun 2015 telah melalui pelbagai proses kematangan. Amanah bukan sekadar sebuah parti politik, sebaliknya yang lebih penting adalah membina pengaruh dan sokongan rakyat yang signifikan.
Pendekatan Amanah yang menitikberatkan ketelusan, kesederhanaan, kasih sayang, peka dengan aspirasi rakyat dan sentiasa mengetengahkan solusi yang adil tanpa mengira latar agama dan bangsa – menjadikan Amanah sebuah parti strategi yang sentiasa dilihat berusaha membangunkan doktrin untuk menyatukan rakyat pelbagai bangsa melalui polisi yang praktikal dan relevan, sekali gus memurnikan ekonomi dan sosial dalam kerangka dinamika politik pelbagai kaum di Malaysia.
Kekuatan Amanah yang berpaksikan pada dasar polisinya yang pragmatik serta mendukung idealisme Islam sederhana perlu diterjemahkan melalui kepimpinan parti yang kolektif, yakni tidak berpaksi pada emosi lampau yang terlalu bergantung pada naratif ‘Amanah mangsa politik rakus PAS’.
Belas ehsan ada hadnya, rakyat dan ahli Amanah dahagakan misi yang jelas serta perancangan yang utuh untuk parti terus berdaya saing pada masa akan datang.
Hal ini tidak mungkin tercapai seandainya barisan kepimpinan masih di takuk lama – terperangkap dalam naratif silam sebagai mangsa politik pesaing serta lemas dalam identiti rakan sekutu.
Amanah mesti berdiri dan membina doktrin yang lebih baik daripada mana-mana parti berteraskan Melayu-Islam dengan mengukuhkan pendekatan rahmah yang dipolisikan dalam segenap aktiviti dan tindakan politiknya.
Saya tegaskan – identiti Amanah perlu diperbaiki, tidak lagi dilihat sebagai kuda tunggangan DAP atau mangsa politik PAS atau mengenepikan perjuangan orang Melayu yang dipelopori oleh Umno – untuk mengubah senario dan atmosfera beracun yang melekat pada batang tubuh Amanah selama ini, sudah tentulah dengan cara memperkasakan barisan kepimpinan parti.
Amanah bukanlah parti yang lahir bersama sosok tubuh tokoh negarawan seperti Anwar Ibrahim atau Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin.
Amanah lahir daripada kepimpinan kolektif yang jitu.
Hal ini bukanlah bermaksud mempersoalkan keberkesanan pucuk pimpinan Amanah sedia ada dari aspek keterampilannya berbanding dengan bekas PM dan TPM, sebaliknya sebagai penanda aras kualiti kepimpinan.
Ya, dalam politik, itu bukanlah syarat mandatori untuk sesebuah parti itu berjaya.
Namun demikian, karisma dan keterampilan kepimpinan sangat penting untuk mewujudkan faktor yang boleh menarik perhatian dan sokongan orang ramai dalam mengumpul pengaruh dan kekuatan agar mereka menyertai Amanah, di samping parti ini dilihat dengan lebih objektif dan realistik.
Inilah kekurangan Amanah yang ketara dalam kesinambungan survivalnya.
Amanah memerlukan tokoh baharu yang sesuai dengan peredaran politik semasa serta berkeupayaan dalam aspek intelektual dan menjelmakan identiti baharu untuk parti.
Amanah seringkali meyakinkan masyarakat bahawa parti ini membawa Islam progresif dengan barisan kepimpinan yang alim dalam bidang atau kepakaran tertentu.
Lantaran itu sewajarnya kepimpinan parti hari ini tidak hanya berkeupayaan menerangkan dasar atau polisi kenegaraannya yang punya identiti Islam inklusif bahkan pada masa yang sama dapat dilihat melalui tindakan, pemikiran dan strategi dalam kalangan pemimpinnya.
Pergantungan terus menerus melalui jalan walak, retorik dan naratif silam dalam mengekalkan kuasa dan institusi kepimpinan, sama sekali tidak akan memperkukuh parti, malah Amanah akan menjadi parti yang tidak ubah seperti PAS, parti yang sama-sama kita kritik dahulu.
Sejarah membuktikan bahawa idealisme parti sentiasa kekal relevan, namun kepimpinan parti harus sentiasa bersifat terbuka, bersedia berubah dan dinamik.
Perpecahan tidak akan terjadi dalam mana-mana parti politik seandainya kita bersikap objektif dan memahami arah tuju parti walaupun pucuk kepimpinan berubah.
Amanah memiliki peluang itu kali ini, mencari, membentuk dan memperkasa kepimpinan sebagai salah satu inisiatif dinamika kepimpinan Amanah, sekaligus memperkukuh identiti parti untuk menghadapi cabaran baharu.
Namun demikian, selagi ahli-ahli Amanah masih terperangkap dalam pemikiran politik tradisional, takut untuk berubah, dibayangi sejarah silam dan melihat demokrasi dan pertandingan sebagai alat perpecahan, maka Amanah akan terus dilihat tidak relevan serta gagal memenuhi aspirasi teras politik Malaysia.
Sehingga kini sama ada kita sedar atau pun tidak, Amanah masih ketinggalan dalam menerang dan menjelaskan dasar-dasar yang dikatakan membawa Islam progresif dan inklusif itu.
Amanah masih bermain dengan perkataan inklusif (retorik) daripada bersungguh-sungguh membina acuan, polisi dan dasar Islam yang inklusif secara holistik.
Kekurangan dan kelemahan ini sangat berkait rapat dengan karisma kepimpinan, penerapan doktrin walak dan kewujudan ideologi neo-konservartif dalam parti.
Amanah perlukan dinamika kepimpinan demi kelangsungan idealismenya dan menguatkan dirinya daripada pengaruh intrik PAS yang sentiasa mencari kelemahan dan sengaja memecah belah agenda murni Amanah.
Saya yakin, Amanah mampu pergi jauh dan hakikatnya rakyat mengundi bukan atas dasar emosi semata-mata, sebaliknya mereka mengundi kerana suka dan yakin dengan dasar, identiti dan matlamat sesebuah parti politik itu.
Saya percaya Amanah memiliki kelebihan itu dan pada masa yang sama memerlukan barisan kepimpinan baharu yang lebih strategi.
ZULKIFLI MOHAMED ialah pengerusi Amanah Pahang dan merupakan ketua pengarah eksekutif Yayasan Rahmah Malaysia.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
/file/940/09f00ddd6f74272387c03811d6c8478f.jpg)
