Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini membuat laporan polis ke atas salah seorang pemimpin kanan Bersatu yang membuat dakwaan "fitnah" ke atas agensi berkenaan.

Menurut SPRM, mereka merujuk kepada satu hantaran dalam TikTok yang memaparkan Ketua Penerangan Bersatu Malaysia, Razali Idris, berceramah di Kemaman pada 10 Nov lalu.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, SPRM mendakwa beberapa tuduhan palsu dikeluarkan Razali dalam majlis tersebut.

"Beliau telah menyatakan bahawa jentera-jentera kerajaan, SPRM dan hakim-hakim dikawal oleh kerajaan semasa, serta mempertikaikan keputusan hakim mahkamah tinggi berhubung sabitan empat pertuduhan ke atas bekas Menteri Belia dan Sukan," katanya yang merujuk kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Menurut SPRM mereka memandang berat "fitnah dan tohmahan" yang dilemparkan Razali kerana ia boleh menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap sistem penguatkuasaan dan perundangan negara ini.

Selain bertindak sebagai ketua penerangan, Razali juga kini berkhidmat sebagai pengerusi Bersatu Terengganu.

Untuk rekod Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara selama tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta terhadap Syed Saddiq pada 9 Nov lalu.

Bekas ketua Pemuda Bersatu (Armada) itu disabitkan bersalah atas empat pertuduhan pecah amanah jenayah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana sayap parti terbabit, berjumlah RM1.12 juta.

Hakim Azhar Abdul Hamid bagaimanapun membenarkan permohonan untuk menangguhkan hukuman ke atas ahli politik terbabit sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Syed Saddiq pernah menjadi anggota kabinet semasa mengetuai Armada namun memihak kepada PH apabila gabungan itu dijatuhkan dalam insiden Langkah Sheraton.

Dia kemudian menubuhkan parti Ikatan Demokratik Malaysa (Muda) dan mengetuainya dengan kekal sebagai salah satu parti yang menyokong PH.

Bagaimanapun Syed Saddiq membawa Muda meninggalkan PH dan menyertai blok pembangkang pada awal Sept lalu.

Kata SPRM agensi itu merupakan badan penguat kuasa yang diperkasakan oleh undang-undang untuk melaksanakan peranan sebagai pembanteras rasuah secara bebas dan profesional.

"Oleh yang demikian, SPRM berharap tindakan sewajarnya dapat diambil dengan kadar segera terhadap mereka yang mengeluar dan menyebarkan fitnah dan tohmahan tersebut," katanya.