Kasthuri: Tubuhkan majlis sabitan semula hukuman mati, hapuskan sebatan
Timbalan setiausaha hubungan antarabangsa DAP Kasthuri Patto memuji usaha kerajaan yang membuat semakan semula tujuh hukuman mati.
Bagaimanapun, dia berharap usaha kerajaan itu tidak terhenti di situ.
Dia berkata kini tiba masanya untuk kerajaan menetapkan garis panduan hukuman, menubuhkan majlis hukuman serta sekali gus menghapuskan hukuman sebatan.
“Keputusan semakan semula hukuman mati ke atas ketujuh-tujuh banduan oleh tiga orang ahli panel yang diketuai oleh Ketua Hakim Tengku Maimun Tuan Mat, yang mempengerusikan Mahkamah Persekutuan kelmarin diterima baik terutama sekali daripada kalangan ahli keluarga banduan.
“Ini adalah keputusan yang bersejarah dan membuktikan bagaimana Malaysia dilihat sebagai sebuah negara yang menghapuskan undang-undang kolonial yang sudah berdekad lama seperti hukuman mati dan sekali gus muncul sebagai pembela hak asasi manusia.
“Ia berkuat kuasa pada September 2023 selepas Kerajaan Madani menghapuskan hukuman mati mandatori bagi 11 pertuduhan pada April 2023, dan kemudiannya telah bermula permohonan-permohonan untuk menyemak semula hukuman mati banduan di Malaysia yang melebihi 1000 kes sehingga ke hari ini.
“Dengan garis panduan semakan semula hukuman ditetapkan, langkah seterusnya ialah kerajaan memberi fokus terhadap penubuhan majlis semakan semula hukuman untuk kerja semak dan imbang yang lebih besar, agar majlis itu dapat bertindak secara bebas tanpa rasa takut dan pilih kasih dalam memperkasakan sistem keadilan jenayah,” kata Kasthuri.
Sebelum ini Malaysia mempunyai 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori dan 22 kesalahan yang membawa kepada hukuman mati atas budi bicara.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/03/8b228a90d55ce16be9ff3e7bf8b0463f.jpg)
