Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jawatan KP J-Kom akan diisi secepat mungkin - Fahmi
Diterbitkan:  Nov 17, 2023 12:55 PM
Dikemaskini: 4:55 AM

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata jawatan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) akan diisi secepat mungkin susulan peletakan jawatan Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff. 

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata beliau dimaklumkan Timbalan Ketua Pengarah J-KOM (Komunikasi Komuniti) Datuk Ismail Yusop berhubung perkara itu.

Beliau turut mengucapkan terima kasih atas khidmatnya dan berkata Mohammad Agus kini tiada lagi apa-apa kaitan dengan pihak kerajaan atau J-KOM.

“Saya belum bercakap dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) khusus mengenai perkara ini. Saya percaya langkah-langkah untuk mengisi jawatan tersebut akan dibuat secepat mungkin,” katanya kepada media Malaysia pada Khamis.

Mohammad Agus Yusoff

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai peletakan jawatan Mohammad Agus. 

Mohammad Agus semalam mengesahkan telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Ketua Pengarah J-KOM kepada Perdana Menteri pada Rabu. 

Beliau berkata keputusan itu dibuat kerana menerima tawaran kerja baharu dan bukannya disebabkan tekanan daripada mana-mana pihak supaya melepaskan jawatan di J-KOM yang disandang sejak 2 Feb lepas.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS