Hakim Zaki Md Yasin, yang mendengar perbicaraan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu pagi ini, menolak dua permohonan yang dibuat oleh Karpal Singh peguam pemerhati bagi pihak keluarga Altantuya dan kerajaan Mongolia.

Karpal memohon supaya Hakim Zaki diganti dengan alasan beliau mempunyai kaitan melalui perkahwinan dengan salah seorang peguam dalam kes itu.

Karpal berhujah, hakim harus menarik diri "bagi menjamin proses keadilan dalam kes ini tidak tercemar".

Zaki juga menolak permohonan tersebut tetapi berjanji akan "mempertahankan perlembagaan" ketika mendengar kes.

Timbalan Pendakwaraya Tun Abdul Majid Tun Hamzah membantah permohonan tersebut.

Dalam permohonan keduanya, Karpal memohon mahkamah membenarkannya untuk menyoalsiasat saksi-saksi dalam kes tersebut.

Peguam itu mahu diberi hak untuk menyoal para saksi, membuat penghujahan dan dibenarkan mengikut semua prosiding sepanjang perbicaraan kes tersebut.

Ketika menolak permohonan tersebut, Mohd Zaki berkata Karpal boleh mengemukakan soalannya melalui timbalan pendakwaraya. Peguambela yang lain juga turut membantah permohonannya itu.

Selepas permohonan itu ditolak, mahkamah berihat selama 30 minit. Apabila disambung, tuduhan dibacakan kepada tiga orang tertuduh.

Perbicaraan kes tersebut bersambung hari ini setelah ditangguhkan pada 4 Jun lalu dan menarik perhatian media tempatan dan antarabangsa kerana ia membabitkan penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda, 46, yang dituduh bersubahat dengan dua anggota polis membunuh wanita tersebut.

Wakil media

Abdul Razak didakwa bersubahat dengan Cif Insp Azilah Hadri, 30, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 35, dari Unit Tindakan Khas (UTK) untuk melakukan pembunuhan itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di pejabatnya di tingkat 10, Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang, Kuala Lumpur antara jam 9.54 pagi 18 Oktober hingga 9.45 malam 19 Oktober tahun lalu.

Azilah dan Sirul pula dituduh membunuh Altantuya, 28, antara Lot 12843 dan Lot 16735, Mukim Bukit Raja, dekat Shah Alam antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.

Jika sabit kesalahan ketiga-tiga tertuduh boleh dihukum mati mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Bernama melaporkan, berpuluh-puluh wartawan dan jurufoto serta krew televisyen tiba seawal jam 5.30 pagi bagi memastikan mereka mendapat tempat duduk.

Berikutan itu, pihak pengurusan mahkamah dengan bantuan polis, menetapkan hanya seorang wartawan bagi setiap agensi media dibenarkan masuk, kerana hanya 30 tempat duduk diperuntukkan kepada wakil media.

Tarik perhatian

Lima tempat lagi disediakan untuk setiap keluarga tertuduh dan bakinya bagi orang awam yang kesemuanya berjumlah 120 tempat duduk. Tidak sampai 15 minit selepas pintu makamah dibuka pada jam 8 pagi, kesemua tempat duduk telah penuh.

Keluarga tertuduh, Abdul Razak Baginda juga antara mereka yang awal tiba di mahkamah pada jam 7.30 pagi.

Antara mereka ialah isteri Abdul Razak, Mazlinda Makhzan dan anak perempuannya Roweena serta ibu bapa dan ibu mertua tertuduh.

Kehadiran Roweena, 20, turut menarik perhatian ramai apabila memakai jaket hitam beserta baju-T putih yang tertulis di dadanya "Roweena Razak Baginda" manakala di belakangnya terpapar perkataan "And I'm Proud Of It".

Sementara menunggu suaminya dibawa ke bilik mahkmah, Mazlinda turut tidak putus-putus memaklumkan kepada media bahawa beliau berharap suaminya akan mendapat keadilan.

Mazlinda yang kelihatan mesra ketika ditemui pemberita berbanding sebelum ini berkata beliau semakin memahami tugas wartawan dan tidak akan mengelak lagi daripada media.

Keluarga dua lagi tertuduh, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar juga turut berada di mahkamah. Abdul Razak dan dua lagi tertuduh tiba jam 9.20 pagi.

Pasukan pendakwaan yang diketuai Ketua Bahagian Guaman, Timbalan Pendakwaraya Tun Abdul Majid Tun Hamzah tiba jam 8.30 pagi bersama K Manoj Kurup dan Noreen Baharuddin.

Ia diikuti oleh keluaraga mangsa iaitu bapanya Dr Shaariibuu Setev bersama tiga sepupu Altantuya serta Konsul Kehormat Mongolia di Malaysia Datuk Syed Abdul Rahman AlHabshi.