Hassan Karim persoal syarikat Elon Musk dapat layanan istimewa
Seorang wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) tampil mempersoal tindakan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang membenarkan sebuah syarikat telekomunikasi beroperasi secara tunggal ataupun pegangan sepenunya tanpa sebarang kerjasama syarikat tempatan.
Hassan Karim (PH-Pasir Gudang) hari ini mendakwa syarikat penyedia jalur lebar Starlink dibenarkan beroperasi secara sepenuhnya di negara ini tanpa pembabitan syarikat tempatan, yang mungkin mengancam keselamatan data.

Katanya syarikat milik Elon Musk dengan seratus peratus ekuiti asing itu telah diberi lesen penyedia rangkaian jalur lebar selama 10 tahun.
"Saya ingin penjelasan timbalan menteri, bahawa kita dimaklumkan syarikat Elon Musk, Starlink telah diberi keistimewaan 'special exemption' untuk beroperasi di Malaysia dengan 100 peratus ekuiti mereka.
"Bermakna tidak ada penyertaan dari syarikat Malaysia sendiri.100 peratus ekuiti asing di negara kita," katanya ketika berbahas di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut Hassan berkata kerajaan tidak sepatutnya membenarkan ruang angkasa negara dikuasai gelombang internet asing yang boleh mengancam keselamatan negara.

Tambahnya, pemilikan seratus peratus ekuiti bagi syarikat asing yang beroperasi di negara ini juga adalah bertentangan dengan dasar ekonomi negara.
"Negara kita ini kita benarkan ruang angkasa segala gelombang internet ini dikuasai syarikat asing, tak bimbang kah tentang masa depan negara kita ini iaitu penjejahan bentuk baru penjajahan penguasaan internet.
'Mengapa begitu mudah saya nak tanya siapa yang bagi lesen ini, kementerian yang mana (bagi lesen)? Ini bukan soal main-main ini.
"Bagi 100 peratus (ekuiti asing) ini tentu bercanggah dengan dasar ekonomi negara, dulu kita tak benarkan syarikat asing menguasai 100 peratus, mesti ada syarikat tempatan 30 peratus atau sebagainya," katanya lagi.
Hassan juga menuntut kerajaan menjelaskan lanjut syarikat mana yang mendapat keistimewaan seperti Starlink.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/09/09a2c14564c6d39944760ffa413f90e8.jpg)
