‘Cubaan pikat ahli Bersatu kerana takut lihat sokongan tinggi’
Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu menyifatkan parti lawan kini berasa terancam dan cuba memikat ahli parti itu selepas melihat Perikatan Nasional (PN) semakin mendapat sokongan.
Dia memberi gambaran tersebut semasa ucapan perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Sayap Srikandi, Armada, Srikandi Muda dan Bersekutu Bersatu ke-5 di IDCC, Shah Alam, hari ini, susulan empat ahli parlimen parti itu bertindak menyatakan sokongan kepada kerajaan.
"Ketika Bersatu semakin mendapat perhatian dan sokongan, musuh mula merasa resah.
"Dalam kalangan kita telah mula didekati, dipujuk rayu, cuba disunting agar Bersatu dilihat lemah dan longlai.
"Ada dari kalangan kita yang sentiasa lupa, musuh politik hanya mendekati apabila kita dilihat sebagai threat atau ancaman kepada kekuasaan mereka," katanya.
Tambahnya lagi, setiap ahli perlu terus berusaha memperkasakan parti dan berusaha menarik keahlian baru.
Selain merangka program yang bersesuaian dengan perjuangan parti, ahli-ahli turut diseru taat dan setia kepada presiden Muhyiddin Yassin.
"Ketaatan dan kesetiaan kepada Tan Sri Presiden mesti sentiasa tertanam dalam diri kita.
"Dalam setiap tutur kata dan perbuatan sebagai ahli parti, hubungan dan sensitiviti dengan sesama rakan dalam parti-parti komponen juga hendaklah sentiasa dijaga," katanya.
‘Henti stigma’
Faizal turut menegaskan pihak lawan cuba menakutkan pengundi bukan Melayu dengan memainkan naratif dengan mempamerkan “pemerintahan berasaskan Islam” sebagai ektremis dan mempromosi keganasan.
Katanya, sejurus PN berjaya memenangi 74 kerusi semasa PRU-14, pihak lawan mencipta ungkapan seperti ‘Pemerintahan Taliban’ serta 'Gelombang Hijau'.
"Saya suarakan masalah Islamofobia terutama stigma yang menggambarkan pemerintahan berasaskan Islam sebagai ganas.
"Kata-kata seperti ekstremis, zaman gelap, tidak progresif yang dikaitkan dengan kepemimpinan Islam amat menyinggung perasaan.
"Stigmatisasi ‘Taliban’ dan ‘Gelombang Hijau’, ini amat merbahaya kerana ia akan membenihkan (kebencian) perkauman, dalam jangka masa panjang ia tentu akan lebih berbahaya," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/06/c14984f5c61f0fea6a55bca78561d4f4.jpg)
