Wan Fayhsal dakwa jadi sasaran pertama diajak sokong PM
Ketua Pemuda Bersatu (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa dia merupakan ahli parlimen PN yang pertama dihubungi wakil kerajaan untuk diajak mengalih sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Pun begitu Wan Ahmad Fayhsal mengakui dia hanya diajak secara baik dan tidak diugut seperti ahli parlimen lain.
Dakwanya, ada pihak lain selain 'Datuk Botak' yang menawarkan peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang jika mereka bersedia menyatakan sokongan kepada Anwar.
"Saya orang yang pertama dihubungi (untuk alih sokongan), tapi saya tak diugutlah.
"Sama seperti Gua Musang, saya ditawarkan... sudah tentu the biggest catch adalah peruntukanlah, itu basic," katanya pada sidang media sempena Perhimpunan Agung Tahunan Srikandi, Armada, Srikandi Muda dan Bersekutu Bersatu kelima di Shah Alam, hari ini
Setakat ini sudah ada empat ahli parlimen PN - khususnya Bersatu - yang mengumumkan sokongan kepada kerajaan iaitu Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli).

Sebelum ini Wan Ahmad Fayhsal mendakwa ada dua individu yang menjadi dalang memujuk ahli perlimen BN, termasuk salah seorang daripadanya digelar sebagai Datuk Botak.
Kata Wan Ahmad Fayhsal semua ahli parlimen termasuk pembangkang memang perlu kepada peruntukan daripada kerajaan.
Justeru, dakwanya, faktor itu yang digunakan pihak berkenaan untuk mengumpan ahli parlimen pembangkang menyatakan sokongan seperti dilakukan empat ahli parlimen terbabit.
Persoalan NGO Melayu
Dia yang juga ahli parlimen Machang turut menyatakan keyakinan tidak ada lagi wakil rakyat pembangkang akan menuruti jejak langkah empat ahli parlimen Bersatu yang sudah mengisytiharkan sokongan kepada kerajaan.
"Tapi hati manusia ini, siapa yang tahu... sebab itulah kita bermukim di sini tiga hari, untuk mengingatkan ahli-ahli kita khususnya wakil-wakil rakyat, bahawa kamu menang (pilihan raya lalu) itu, sebab kami, ahli-ahli yang bekerja keras," katanya.
Sementara itu mengulas mengenai status sekolah vernakular yang diberi kebenaran beroperasi secara sah oleh mahkamah, Wan Fayhsal berkata, perkara tersebut belum lagi dibincangkan Bersatu.
Pada masa sama, kata Wan Ahmad Fayhsal, pihaknya berharap ada perbincangan lanjut mengenai bagaimana untuk memastikan sekolah-sekolah terbabit dapat terus beroperasi.
"Tapi mereka harus memperkuatkan keberadaan mereka dalam agenda perpaduan serta sekolah-sekolah ini perlu diselitkan lebih banyak elemen-elemen seperti pengajaran Bahasa Melayu dan Sejarah, daripada membawa silibus asing.
"Ada sesetengah sekolah yang membawa silibus dari China dan Taiwan yang tidak relevan dalam pembangunan negara.
"Inilah persoalan yang dibangkitkan oleh NGO Melayu yang mencabar perlembagaan sekolah vernakular.
"Jika mereka boleh memenuhi permintaan ini, kami boleh bersetuju," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/11/78182ee10d5330e36785ddd008bc1bd4.jpg)
