Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menggesa kerajaan menyegerakan penubuhan jawatankuasa khas yang diluluskan oleh Majlis Raja-Raja bagi memperkasa dan mengangkat martabat Mahkamah Syariah.

Sambil menyatakan sokongan berhubung pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang dibuat dua hari lalu, presiden kumpulan itu Muhamad Hisham Marzuki berkata inisiatif berkenaan tidak harus ditangguhkan berikutan pelbagai cabaran undang-undang yang timbul berhubung konflik antara kuasa persekutuan dan negeri.

"PPMM percaya bahawa inisiatif ini perlu disegerakan mengambil kira keadaan semasa yang melibatkan pelbagai cabaran undang-undang akibat pertindihan kuasa negeri dan persekutuan yang turut dizahirkan jelas melalui titah Sultan Selangor selaku pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang lepas pada 28 Ogos 2023 yang lepas.

"Selain itu, PPMM menegaskan penyelesaian ini perlulah dilaksanakan segera memandangkan sebelum ini telah terdapat 157 syor cadangan yang telah disarankan untuk pelaksanaan yang telah diperincikan oleh suatu Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam peringkat persekutuan sebelum ini.

"Malah, perkara ini telah lama timbul dan dikenal pasti untuk dicadangkan pindaan-pindaan yang wajar di dalam Undang-undang sedia ada," kata Hisham dalam kenyataan hari ini.

Katanya, PPMM terus menyokong penuh usaha-usaha ke arah menyelesaikan isu pertindihan bidang kuasa antara negeri dan persekutuan ini serta komited untuk memastikan prinsip perlembagaan persekutuan adalah terus terpelihara demi memelihara keamanan dan keharmonian rakyat Malaysia.

Pada 21 Nov lalu, Anwar berkata kerajaan bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa khas yang diperakui oleh Majlis Raja-Raja dalam usaha untuk mengangkat martabat mahkamah syariah.

Katanya, jawatankuasa itu akan meneliti dan berbincang dengan mufti serta semua pihak berkaitan bagi mendapatkan pandangan supaya ada peraturan yang boleh dilaksanakan dalam meningkatkan bidang kuasa mahkamah syariah.

Menurutnya, Majlis Raja-Raja juga berminat dan memberi perkenan supaya jawatankuasa itu melakukan kajian dalam meningkatkan kuasa Mahkamah Syariah terhadap umat Islam dan pada masa sama tidak memberi kesan ke atas golongan bukan Islam.

"Setakat ini nama-nama (individu yang) menganggotai jawatankuasa khas ini sudah mendapat perkenan Majlis Raja-Raja dan prosesnya mereka akan dan mesti berbincang dengan Majlis Agama Islam Negeri dan kerajaan negeri sebelum apa-apa perkara dimuktamadkan.

"Ada kaedah perlu dibincangkan kerana ada negeri agak keras, kurang setuju kalau kita langgar prinsip-prinsip yang disebutkan, namun apa sahaja cadangan jawatankuasa ini nanti, haruslah dimaklumkan kepada Majlis Raja-Raja,” katanya semasa Waktu-waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Anwar berkata sebarang keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung prosiding cabaran perlembagaan oleh dua wanita Muslim tidak akan menghalang usaha kerajaan untuk memperkukuh Mahkamah Syariah melalui jawatankuasa itu.

"Sebab itu kita ada jawatankuasa khas ini, untuk menyelaraskan pelaksanaan undang-undang.

"Bayangkan jika negeri-negeri diberi ruang tanpa had untuk menggubal undang-undang, setiap negeri melakukan hal sendiri, dan kemudian akan berlaku konflik antara negeri-negeri," katanya.

Katanya, melalui jawatankuasa itu, sebarang cadangan pindaan dan penambahbaikan kepada mahkamah syariah perlu mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja sebelum dibentangkan di Parlimen.

Untuk rekod, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, bersama anaknya, Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman membuat permohonan semakan bagi mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Inti pati utama permohonan Nik Elin dan Tengku Yasmin ialah meminta agar Mahkamah Persekutuan membatalkan 20 kesalahan syariah dalam enakmen Kelantan atas alasan dewan undangan negeri terbabit bertindak melangkaui bidang kuasa mereka.