PAS harap PKR dapat selesaikan masalah dalaman
PAS berharap Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan dapat menyelesaikan masalah dalamannya supaya tidak memberi kesan kepada pakatan pembangkang, termasuk PAS dalam menghadapi Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum akan datang.
PAS berharap Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan dapat menyelesaikan masalah dalamannya supaya tidak memberi kesan kepada pakatan pembangkang, termasuk PAS dalam menghadapi Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum akan datang.
"PAS berharap PKR terus mengembalikan keyakinan rakyat, terutama menjelang pilihanraya umum akan datang," kata Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar (foto).
Beliau yang juga bekas ketua pemuda PAS berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan ahli PKR keluar parti itu.
Selain laporan ada ahli PKR yang keluar parti di Kedah, terdapat juga ahli-ahli dari kalangan kaum India yang turut berbuat demikian selepas Datuk KS Nallakarupan (foto) meninggalkan PKR baru-baru ini.
Mahfuz berkata, PKR mempunyai potensi untuk mendapatkan penyokong di kawasan pengundi bercampur khususnya di kalangan masyarakat India dan Cina terutama di kawasan bandar seperti dalam pilihanraya umum lalu.
"Sayang jika PKR yang telah begitu matang dengan politik negara sejak 1999, menghadapi kemelut dalaman," katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Mahfuz berkata, PAS belum membincangkan isu pelantikan seorang ahlinya, Saifuddin Nasution Ismail sebagai pengarah strategi PKR akhir bulan lalu.
Kedudukan Saifuddin
Saifuddin merupakan seorang ahli PAS dalam kawasan Pokok Sena telah dilantik sebagai pengarah strategi PKR oleh penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kongres nasional parti itu di Seremban akhir bulan lalu.
"Saya meminta Saifuddin membuat keputusan sama ada beliau mahu menerima jawatan PKR atau kekal dalam PAS yang disertainya awal tahun ini.
"Setakat ini beliau belum memberitahu sama mahu kekal dalam PAS atau menerima tawaran menjadi pengarah strategi PKR," katanya.
Mahfuz berkata, bagaimana Saifuddin (foto) mahu menjiwai tugasnya sebagai pengarah strategi PKR jika beliau masih menjadi ahli PAS kerana tugas tersebut bukannya mudah kerana ia membabitkan hala tuju PKR.
"Saya tidak melarang beliau menjadi pengarah strategi PKR tetapi untuk menjawatan jawatan penting seperti itu, ia memerlukan orang yang boleh memberi komitmen penuh kepada tugasannya dan tidak boleh dibuat secara sambil lewa.
"Bagaimana beliau boleh memfokuskan kerja kepada pengarah strategi PKR, jika masih menjadi ahli PAS," katanya lagi.
Sementara itu, Saifuddin ketika dihubungi berkata, beliau tidak mahu menimbulkan soal beliau masih ahli PAS sebalik beliau bekerja untuk pembangkang bagi menjatuhkan BN dalam pilihanraya umum akan datang.
Katanya, masalah itu tidak berbangkit di peringkat bawah dan ia bukan sesuatu isu yang besar.

