Penyiasat persendirian yang diupah oleh Abdul Razak Baginda berkata, seorang wanita rakyat Mongolia bernama Aminah datang ke pejabat penganalisa politik itu pada 9 Oktober tahun lalu.

V Bala Subramaniam, 47, memberitahu demikian dalam perbicaraan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang bermula di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini, yang didengar oleh Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin.

Bala berkata, tiga rakyat Mongolia cuba menemui Razak, 47, di Pusat Penyelidikan Strategi Malaysia (MSRC) di tingkat 10 Bangunan Getah Asli di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

"Saya menerima panggilan dari Razak yang (mereka) berada di pejabatnya dan meminta saya pergi ke sana secepat mungkin. Saya berada di rumah ketika itu, jadi saya hantar pembantu saya (K Suras Kumar) ke sana," katanya.

"Apabila saya tiba di sana, setiausaha berkata, ketiga-tiga mereka sudah beredar, jadi kami berdua mengekori mereka. Suras pergi bercakap dengan mereka di luar lobi dan meminta pemetik api. Saya pula berada dekat tangga untuk memerhati mereka," katanya.

Katanya, dia tahu salah seorang daripada mereka adalah orang yang Razak ceritakan kepadanya.

"Bila nampak mereka, saya pasti ketiga-tiganya adalah rakyat Mongolia tetapi saya tidak pasti yang mana yang mengancam Razak," jelasnya.

Bala, bekas pegawai cawangan khas, berkata beliau menghubungi pihak polis dan dua orang pegawai Zul Husnee Isa dan V Pallaniandy datang dan beliau bertanya mengenai ketiga mereka.

"Pallaniandy beritahu saya bahawa salah seorang daripada mereka bernama Aminah dan wanita itu memberitahu sebelum ini bahawa suaminya adalah pengarah eksekutif bangunan ini," katanya.

(Pada masa itu, Razak adalah pengarah eksekutif badan pemikir MSRC.)

Bala juga berkata, ketiga-tiga mereka menaiki kereta Honda Accord yang dipandu oleh seorang lelaki yang berwajah seperti Cina.

Rakyat Mongolia itu berlegar-legar di tingkat bawah bangunan selepas pegawai polis berkenaan beredar, dan Bala menelefon Razak memberitahunya supaya meninggalkan bangunan itu melalui pintu belakang.

"Saya kemudian menelefon Razak sekali lagi untuk memberitahunya bahawa ketiga-tiga (rakyat Mongolia) telah pergi dan sayapun beredar dari tempat itu," katanya.

'Terima ancaman'

Sebelum itu, Timbalan Pendakwaraya, Tun Majid Tun Hamzah meminta Bala memberitahu secara khusus mengapa dia diupah selepas mahkamah diberitahu yang dia menemui Razak selama lebih sejam di pejabatnya untuk membincangkan tugasannya.

"Razak mengupah saya supaya wanita Mongolia ini, yang telah mengancamnya, tidak mengganggunya. Tugas saya ialah untuk menghalangnya daripada bertemu Razak. Dia beritahu saya, dia (wanita itu) menggugutnya untuk mendapatkan wang," katanya.

Bala berkata, dia dibayar RM4,000 untuk perkhidmatannya yang akan berakhir apabila wanita Mongolia pulang ke negara mereka. Katanya, dia menjadi penyiasat persendirian sejak sembilan tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, Razak telah memberitahunya bahawa dia menerima ancaman daripada seorang anggota polis yang bercakap dalam loghat Cina.

"Saya memberitahu dia supaya membuat laporan polis tetapi katanya, dia akan berbincang dengan peguam keluarganya terlebih dahulu sebelum membuat keputusan (mengenainya)," katanya.

Bala juga berkata, Razak memberitahunya bahawa dia mempunyai rakaman perbualan telefon dengan anggota polis tersebut.

Bagaimanapun, Bala berkata, dia tidak ingat butir-butir mengenai ancaman tersebut kerana ia tidak termasuk dalam tugasannya.

Azilah Hadri, 30, dan Sirul Azhar Umar, 35, dituduh membunuh Altantuya, 28, antara Lot 12843 dan Lot 16735, Mukim Bukit Raja, dekat Shah Alam antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.

Manakala Abdul Razak dituduh bersubahat melakukan kesalahan itu di pejabatnya di tingkat 10, Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang, Kuala Lumpur antara jam 9.54 pagi 18 Oktober dan jam 9.45 malam 19 Oktober tahun lalu.

Jika sabit kesalahan ketiga-tiga tertuduh boleh dihukum mati mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Perbicaraan disambung esok. Berita asal