Sebuah buku akademik yang memperincikan perjalanan panjang Malaysiakini dari 1999 hingga kini akan dilancarkan di toko buku, Gerakbudaya pada Ahad ini.

Buku bertajuk “Malaysiakini and the Power of Independent Media in Malaysia” yang ditulis sarjana kewartawanan, Janet Steele itu memberikan pandangan kritis di sebalik tabir Malaysiakini.

“Ia melihat sejarah Malaysia moden melalui kaca mata Malaysiakini.

"Dengan memberi tumpuan kepada detik-detik penting dalam sejarah Malaysiakini, ia memaparkan bagaimana masalah yang kelihatan sukar dapat diselesaikan dalam satu-satunya bilik berita yang benar-benar bebas di Malaysia," tulisnya dalam pengenalan pada bukunya.

Buku ini juga merungkai bagaimana portal berita itu mendekati topik-topik sensitif seperti kaum dan agama.

Ia juga mengandungi biografi pengasas bersama Malaysiakini, Steven Gan dan Premesh Chandran, serta pengalaman mereka dalam menubuhkan portal berita itu.

Steele, yang mengajar di Universiti George Washington, mula diperkenalkan kepada Malaysiakini pada 2007. Dia kemudian kerap mengunjungi Malaysiakini dan menemu bual individu penting di sebalik organisasi itu sebagai sebahagian daripada penyelidikannya untuk buku itu.

Pelancaran buku berkenaan akan bermula pada pukul 2 petang.

Antara yang hadir ialah Premesh yang juga merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini, serta Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin yang memperkenalkan Steele kepada portal berita itu pada 2007.

Mereka yang ingin menempah buku itu boleh berbuat demikian menerusi laman web penerbit National University of Singapore (NUS) Press.

Pembaca Malaysiakini berhak memperoleh diskaun 20 peratus ke atas buku tersebut dengan menggunakan kod JSMAL20 semasa membuat pembayaran.