Wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu menuntut wang sebanyak AS$500,000 dan tiga tiket penerbangan ke Mongolia, dari penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda beberapa hari sebelum dia dibunuh, demikian mahkamah diberitahu hari ini.

Pegawai penyiasat persendirian Abdul Razak, P Balasubramaniam, 47, tuntutan itu dibuat dalam pertemuan Altantuya dengan beliau serta pegawai penyiasat wanita Mongolia itu, Ang Chong Beng di luar kawasan Balai Polis Brickfields antara jam 11 hingga 12 malam 17 Oktober tahun lalu.

Altantuya, katanya, membuat tuntutan itu selepas Ang memujuknya supaya tidak membuat laporan polis mengenai Abdul Razak, demikian menurut laporan Bernama.

Menurutnya, Altantuya dibawa ke balai polis tersebut selepas dia membuat kecoh di luar rumah bapa Abdul Razak dengan menjerit dan mengeluarkan kata-kata kesat mendesak Abdul Razak keluar untuk bercakap dengannya.

Balasubramaniam memberitahu demikian pada hari kedua perbicaraan kes itu di hadapan Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin.

Cif Inspektor Azilah Hadri, 30, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 35, dari Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman didakwa membunuh Altantuya, 28, di lokasi antara lot 12843 dan lot 16735, Mukim Bukit Raja di Shah Alam antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.

Abdul Razak, 46, pula didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar di Wilayah Persekutuan di antara 9.54 pagi 18 Oktober 2006 dan 9.45 malam pada 19 Oktober tahun lalu.

Balasubramaniam berkata beliau telah memberitahu peguam keluarga Abdul Razak mengenai tuntutan Altantuya menerusi telefon pada malam itu juga dan memberitahu Abdul Razak mengenainya keesokan harinya.

Ditanya Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah mengenai pertemuannya dengan Abdul Razak di pejabatnya di Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang untuk memaklumkan perkara itu, Balasubaramaniam berkata: "Abdul Razak berkata dia akan berbincang dengan pegawai atasan polis yang beliau kenali dan akan bertindak selepas itu."

Perbicaraan disambung petang ini.