Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

Barisan ahli panel forum bertajuk “Setahun Kerajaan Madani: Apa Seterusnya?” anjuran Malaysiakini malam tadi memberi pengiktirafan kecil kepada pentadbiran Anwar Ibrahim, tetapi berkata, perdana menteri kesepuluh itu perlu berusaha lebih keras untuk menunaikan  janji-janjinya.

Antara yang lantang membidasnya adalah wartawan veteran R Nadeswaran yang hanya memberikan kerajaan hari ini gred D tolak bersarkan prestasi mereka selepas setahun mentadbir.

R Nadeswaran

“Satu-satunya perkara yang konsisten Anwar lakukan adalah kemahiran berpidatonya. Sudah tentu kami mengalu-alukan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 dan pindaan ke atas Kanun Keseksaan dan Kanun Acara Jenayah, bagi menjadikan tindakan menghendap sebagai satu kesalahan.

“Tetapi sebelum dia berkuasa, pakatannya berjanji untuk menghapuskan PPPA dan Akta Hasutan.

“Sebaliknya, kami melihat apa yang berlaku terhadap serbuan dan rampasan ke atas jam Koleksi Pride yang tertera warna pelangi yang didakwa melambangkan simbol komuniti LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender). Ini mengulangi apa yang kerajaan Umno lakukan terhadap Bersih,” kata Nadeswaran.

Nadeswaran juga berkata di bawah pimpinan  Anwar, media sepatutnya lebih bebas, namun sebaliknya pula yang berlaku apabila masih ada laman web yang disekat.

Kata Nadeswaran, usaha memerangi rasuah adalah perkara yang paling kurang ditangani oleh kerajaan.

Lagi kepincangan Madani

Dalam beberapa kejadian, Anwar telah diselar kerana tidak menunaikan janjinya, dengan kumpulan hak asasi manusia seperti Suaram dan Lawyers for Liberty (LFL) menyuarakan rasa tidak puas hati mereka.

“Apa yang kita lihat? Tidak banyak. Bagaimana pula dengan skandal (projek kapal tempur pesisir) LCS? Ini adalah antara perkara yang kerap mereka ungkit sebelum ini tetapi kini membisu,” katanya.

Nadeswaran berkata, jika kerajaan serius memerangi rasuah, ia memerlukan seseorang yang bersih.

“Kita lihat Ketua SPRM Azam Baki dengan penjelasannya yang meragukan tentang abangnya yang menggunakan akaunnya untuk membeli saham. Namun dia dilantik semula oleh Anwar,” kata Nadeswaran.

Meskipun, Nadeswaran memuji tindakan Anwar yang memotong gaji jemaah menterinya sebanyak 20 peratus setiap bulan, tetapi dia mempersoalkan saiz rombongan perjalanan Anwar ke luar negara yang dikatakan masih besar.

Perkembangan yang mengecewakan

Sementara itu, pengarah eksekutif Sisters in Islam, Rozana Isa berkata langkah kerajaan meluluskan rang undang-undang berkaitan kesalahan menghendap adalah sesuatu yang dialu-alukan dan ia telah sejak sekian lama diperjuangkan oleh NGO wanita itu.

Katanya, ini perlu segera dilaksanakan, memetik bahawa apabila pembentukan tribunal untuk menyelia kes gangguan seksual diumumkan, ahli-ahlinya masih belum dinamakan.

Rozana Isa

“Malah akta keganasan rumah tangga pada 1994 mengambil masa dua tahun untuk dilaksanakan, jadi ini adalah sesuatu yang kita tidak boleh lepas pandang,” katanya.

Rozana turut mempersoalkan kerajaan berhubung cadangan pindaan undang-undang berkaitan warganegara.

“Ini adalah cadangan untuk menghapuskan peruntukan sedia ada dan membuatkan saya tertanya-tanya apakah visi kerajaan Madani.

“Adakah mereka mahu mewujudkan lebih banyak (orang) tanpa warganegara? Justifikasi untuk ini tidak diberikan dengan cara yang jelas,” katanya.

Dia juga menarik perhatian pentadbiran kepada hak wanita dengan mengatakan bahawa terdapat beberapa perkembangan yang mengecewakan.

“Tiada siapa yang bercakap dengan jelas tentang peranan wanita. Kita masih melihat Islam politik masih diteruskan.

“Kita telah saksikan tindakan kerajaan Terengganu mengenai pematuhan pakaian tidak patuh syariah kepada atlet wanita di negeri itu dan kini Kelantan mahu mengadakan perbincangan berhubung garis panduan pakaian sukan patuh syariah bagi Sukan Malaysia (Sukma) 2028 yang bakal dianjurkan negeri itu.

“Kita mahu melihat mesej yang jelas dan kuat, bukan memikirkan bagaimana parti politik tertentu berpendapat ia sepatutnya.

"Jika kamu tidak suka jangan tonton," kata Rozana.

Pencapaian terbesar Anwar - Kekal bertahan setahun

Penganalisis politik Wong Chin Huat pula berkata bahawa antara pencapaian terbesar kerajaan Anwar ialah kekal bertahan selama setahun.

“Sebelum ini, ada seorang, Dr Mahathir memerintah selama 22 tahun, tetapi dalam lima tahun kita ada lima orang (perdana menteri).

“Sekarang kita boleh lihat kerajaan full term walaupun anda mungkin tidak melihat pencapaian  segera dalam ekonomi dan sebagainya, banyak isu adalah bersifat antarabangsa.

"Kita mempunyai beberapa matlamat yang penting, seperti 60 peratus wanita mengambil bahagian dalam tenaga kerja," kata Wong.

Wong Chin Huat

Namun, Wong berkata, kekecewaan terbesarnya dalam kerajaan hari ini ialah apabila melihat Anwar gagal keluar dari kepompongnya yang berasal dari Umno.

“Maksud saya bukan sekadar naratif tapi (politik) naungan dan politik identiti untuk menekan pesaingnya.

Politik kita sangat toksid sehingga kita terbiasa dengan amalan menindas orang yang kita tidak suka. 

“Semasa Malaysia yang lama untuk berkuasa kita perlu menindas pembangkang. Rakyat lihat dan kata sekurang-kurangnya ini malaun yang kita dah biasa dan nampaknya sentimen ini muncul kembali,” kata Wong.

Menurutnya, Anwar juga mengambil sikap berhati-hati dengan orang yang melabelkan diri mereka sebagai liberal kerana sebenarnya mereka adalah autoritarian. 

“Mereka menganggap orang yang bersetuju dengan mereka sebagai bodoh atau jahat, dan golongan tersebut tidak perlu diambil serius.

“Saya fikir ada bahayanya peralihan daripada kerajaan yang didominasi satu parti ini, kita mungkin tidak beralih kepada demokrasi yang sihat.

"Jika kita mengekalkan sistem dua gabungan ini sekarang, kita tidak lagi mempunyai komposisi pelbagai etnik di kedua-dua belah pihak," katanya merujuk kepada komposisi PN yang didominasi oleh Melayu-Islam.

“Kita lihat sejak 2018, kita mempunyai pelbagai etnik di satu pihak, dan pembangkang daripada satu kaum sahaja.

"Jika ini berterusan, satu kaum etnik akan menjadi semakin kuat," kata Wong.

Kembalikan GST

Manakala penganalisis bebas, P Gunasegaram berkata bahawa Anwar mempunyai empat tahun untuk meransang ekonomi negara, jika tidak dia akan disingkirkan pada pilihan raya akan datang.

P Gunasegaram

“Anwar mempunyai masa empat tahun untuk memulihkan ekonomi dan memberikan kehidupan yang lebih baik kepada semua orang.

“Cara terbaik untuk meningkatkan hasil ialah mengembalikan semula GST yang lebih cekap daripada SST. Perkara lain ialah penggunaan cukai keuntungan modal di tempat yang betul. Ia tidak perlu banyak tetapi boleh memberikan pendapatan yang berguna.

“Dari segi perbelanjaan, masalah utama ialah subsidi, termasuk subsidi bahan api. Saya rasa sudah tiba masanya untuk mengambil beberapa langkah yang amat diperlukan tetapi tidak popular,” kata Gunasegaram.

Lihat Komen
ADS