PKR telah menubuhkan dua pasukan yang dianggotai pemimpin tertinggi parti itu untuk memulakan rundingan dengan rakan pembangkang mengenai pengagihan kerusi dalam pilihanraya umum akan datang.

Mesyuarat parti itu Ahad lalu, yang dipengerusikan oleh ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah melantik Setiausaha Agung PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai ketua perunding parti itu.

Pemimpin lain yang dilantik menganggotai pasukan itu ialah Naib Presiden, Mustaffa Kamil Ayub; Ketua Penerangan, Tian Chua dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Johari Abdul.

Mereka akan mengadakan perundingan dengan PAS, yang merupakan anggota komponen PKR dalam Barisan Alternatif (BA).

Sementara itu, Pengarah Pilihanraya PKR, Azmin Ali memberitahu malaysiakini semalam bahawa satu lagi pasukan diketuai oleh Naib Presiden, Dr Lee Boon Chye, untuk berbincang dengan DAP.

Anggota lain pasukan kedua itu terdiri daripada Khalid, Naib Presiden, R Sivarasa dan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Dr Mansor Othman.

"Setiausaha agung akan memaklumkan kepada kedua-dua parti itu bahawa kita sudah bersedia untuk memulakan rundingan. Saya harap kita boleh berjumpa dan menyelesaikan perbincangan seawal mungkin, harap-harap menjelang pertengahan bulan Julai," kata Azmin yang juga naib presiden PKR.

Menurut beliau, keputusan untuk memilih pemimpin terkanan PKR menganggotai pasukan perundingan itu adalah untuk memastikan perbincangan berjalan lancar.

"Kita telah belajar daripada pengalaman lalu," kata Azmin, merujuk kepada perbincangan pengagihan kerusi sebelum ini yang menghadapi beberapa masalah, antaranya kerana, pasukan perunding tidak dapat membuat keputusan muktamad.

Tuntutan bertindih

Menurutnya, PKR telah mengenalpasti 20 hingga 25 kerusi Parlimen yang perlu dirundingkan dengan PAS dan DAP.

Difahamkan, PKR dan DAP mahu bertanding di lebih banyak kawasan dalam pilihanraya umum akan datang, dan ini menyebabkan berlaku pertindihan tuntutan kerusi antara kedua buah parti.

Menurut Azmin, mesyuarat Ahad lalu telah mengesahkan senarai 40 kawasan Parlimen di Semenanjung Malaysia yang diklasifikasikan sebagai "boleh menang" yang akan ditandingi oleh PKR kali ini.

"Kesemuanya merupakan kawasan 'bersih', yang bermakna tidak berlaku pertindihan tuntutan dengan mana-mana parti pembangkang yang lain. Daripada jumlah tersebut, kita akan mula memberi tumpuan di 26 kawasan mulai hari ini.

"(Jentera pilihanraya bagi) baki 14 kerusi lagi ditangguhkan sementara menunggu penilaian selanjutnya yang diperlukan oleh biro politik," kata Azmin. Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan senarai tersebut.

Bagi Sabah dan Sarawak, katanya, para pemimpin PKR di kedua negeri berkenaan telah diberi tempoh seminggu untuk mengemukakan laporan dan senarai kerusi yang mereka mahu tandingi.

Sementara itu, Dr Lee berharap DAP akan diwakili oleh pemimpin kanan parti tersebut bagi memudahkan keputusan dibuat.

"Kita harap semangat kerjasama antara PKR dan DAP selepas pilihanraya kecil Machap dan Ijok akan diteruskan dalam pilihanraya umum akan datang," katanya sambil menambah pertemuan antara kedua pihak dijangka diadakan minggu depan.

' Mekanisme baru'

Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, ketika dihubungi, mengulangi permintaannya sebelum ini untuk bertemu dengan Anwar berhubung penubuhan satu 'mekanisme baru'.

Beliau enggan memberi butiran lanjut mengenai 'mekanisme baru' itu tetapi menambah, ia akan membolehkan perundingan dijalankan dengan "lebih sistematik dan terperinci".

"Jika ada masalah yang tidak boleh diselesaikan oleh pasukan perunding, maka ia akan diselesaikan oleh saya dan Anwar atau (Presiden PKR), Datin Seri Dr Wan Azizah (Wan Ismail)," tambahnya.

Menurut sumber-sumber parti itu, kerusi Parlimen yang dijangka berdepan dengan masalah ialah di Puchong dan Petaling Jaya Selatan di Selangor, serta Taiping dan Teluk Intan in Perak.

Bagaimanapun, katanya, 'perebutan' kawasan antara kedua parti tersebut adalah bagi kerusi di Sabah dan Sarawak.

Sebelum ini, DAP tidak selesa dengan permintaan PKR untuk menyemak semula formula pengagihan kerusi selepas PKR dikatakan mahu bertanding di lebih banyak kawasan majoriti pengundi Melayu dan Cina.

Manakala perbincangan antara PKR-PAS dijangka tidak menghadapi masalah. Mengikut ketua perunding PAS, Datuk Mustafa Ali, pada prinsipnya, beliau tidak mempunyai masalah dengan permintaan PKR.

DAP mensasarkan bertanding di 54 kerusi Parlimen dan 115 kerusi negeri, manakala PKR pula dilaporkan mensasarkan bertanding di 60 kerusi Parlimen dan 120 kerusi negeri.

Dalam satu perkembangan lain, mesyuarat MPT PKR Ahad lalu juga mengumumkan barisan pengerusi PKR negeri, yang menyaksikan pelantikan enam muka baru.

Enam muka baru itu ialah Nasaruddin Sidek (Perlis), Farid Zakaria (Kedah), Dr Zainal Abidin Ahmad (Selangor), Abdul Razak Ahmad (Johor), Azman Zainal Abidin (Wilayah Persekutuan) dan Mustaffa Kamil Ayub (Terengganu). Berita asal