AMK minta 10 kerusi Parlimen
Angkatan Muda Keadilan (AMK) meminta pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) memperuntukkan kepada pergerakan itu sekurang-kurangnya 10 kerusi Parlimen yang berpotensi menang dalam pilihanraya umum akan datang.
Angkatan Muda Keadilan (AMK) meminta pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) memperuntukkan kepada pergerakan itu sekurang-kurangnya 10 kerusi Parlimen yang berpotensi menang dalam pilihanraya umum akan datang.
Timbalan Ketua AMK, Fariz Musa berkata, permintaan itu amat munasabah memandangkan pergerakan itu mempunyai ramai calon berwibawa untuk bertanding dalam pilihanraya umum akan datang.
Bagaimanapun, katanya, terpulang kepada parti untuk menentukan kerusi-kerusi berkenaan.
Menurut Fariz, pergerakan itu yakin "yakin kami tidak akan mengecewakan."
PKR dijangka mengadakan perbincangan dengan parti pembangkang lain PAS dan DAP bulan depan mengenai pengagihan kerusi yang akan ditandingi dalam pilihanraya umum akan datang.
Naib Presiden dan Pengarah Biro Politik PKR, Azmin Ali dilaporkan parti itu mahu bertanding kira-kira 60 kerusi Parlimen dalam pilihanraya umum akan datang.
Fariz berkata, AMK mempunyai senarai calon untuk diketengahkan dan mereka berumur di bawah 40 tahun, berwibawa, bekerja kuat dan 'akan susah senang bersama rakyat.'
Kursus pilihanraya
Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan mengadakan kursus pilihanraya kepada kira-kira 200 anggota jentera parti dari seluruh negara sebagai persediaan menghadapi pilihanraya umum.
"Kita hanya menunggu keputusan dari pucuk pimpinan parti mengenai permintaan tersebut, dan terpulanglah kepada parti untuk menerimanya atau tidak," katanya.
Sementara itu, AMK memerlukan sedkit masa lagi untuk melantik ketua AMK negeri-negeri yang baru kerana mahu mendapat pandangan pemimpin peringkat negeri dan bahagian.
Fariz berkata, kira-kira separuh daripada ketua AMK negeri yang ada sekarang digugurkan dan diganti dengan muka baru yang merupakan anak tempatan.
"Calon sudah ada dan pelantikan tersebut akan dibuat secepat mungkin sebaik sahaja perbincangan dengan pengerusi perhubungan negeri dan pemimpin peringkat bahagian selesai," katanha.
Mengulas mengenai banyak bahagian PKR yang tidak mempunyai AMK, Fariz berkata, sesetengah bahagian tidak menubuhkan AMK manakala yang lainnya tidak mengadakan mesyuarat, menyebabkan ia dibatalkan.
Bagaimanapun, beliau berkata, , pihaknya sedang berusaha menghidupkan semula bahagian-bahagian yang bermasalah dengan melantik muka baru untuk menerajui pergerakan itu.

