Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mempersoalkan sama ada Kementerian Sumber Manusia cukup kakitangan untuk memastikan majikan swasta menjalankan ujian dadah dan arak setiap enam bulan ke atas pekerjanya.

Presidennya, Syed Shahir Syed Mohamud, berkata ujian ini merupakan perkara yang baru dan masalah penagihan dadah pula adalah serius.

Katanya, isu ini juga perlu dilihat daripada aspek kemanusiaan dan perlu perbincangan yang serius untuk menanganinya.

Beliau berkata, majikan tidak mempunyai pilihan lain dan mereka harus mengikuti arahan yang dikeluarkan oleh kementerian.

Bagaimanapun, katanya yang pentingnya ialah soal penguatkuasaan sama ada kementerian mempunyai cukup pegawai bagi melaksanakan peraturan ini.

"Pegawai diperlukan untuk memantau majikan yang melanggar peraturan ini," katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.

Semalam, kerajaan akan memastikan semua majikan di negara ini menjalankan ujian saringan dadah, alkohol dan bahan terlarang terhadap pekerja mereka setiap enam bulan sekali bagi memastikan mereka bebas daripada gejala negatif itu.

Kesedaran pekerja

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Bakar berkata, majikan yang gagal mematuhi peraturan itu boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM 20 000 atau kedua-duanya sekali.

Peraturan mewajibkan semua majikan membuat ujian itu sudah ditetapkan dalam Kod amalan Pencegahan dan Pembasmian Penyalahgunaan Dadah, Alkohol dan Bahan di Tempat Kerja yang bertujuan memastikan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja 1994 dipatuhi.

Menurut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja 1994, semua majikan yang mempunyai lebih 40 pekerja mesti menubuhkan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan bagi membantu mencegah masalah penyalahgunaan dadah di kalangan pekerja.

Ditanya sama ada pekerja tempatan mudah terlibat dengan dadah dan alkohol, Syed Shahir berkata, kajian yang mendalam perlu dibuat dan tidak kira pekerja tempatan atau luar negara.

Katanya, syarikat besar yang mempunyai kesatuan sekerja biasanya mengambil berat mengenai Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja 1994.

"Jika dilihat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, memang terdapat kesedaran di kalangan pekerja," katanya.