Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Lim Lip Eng dan Monspace (M) Sdn Bhd mencapai persetujuan untuk Mahkamah Rayuan menangguhkan keputusan supaya ahli Parlimen Kepong itu membayar ganti rugi fitnah RM2 juta kepada syarikat itu dan pengasasnya, Jessy Lai.

Mahkamah Rayuan pagi ini merekodkan keputusan persetujuan penangguhan itu, sementara menunggu rayuan ahli parlimen DAP itu membatalkan keputusan sebelum ini.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Kamaludin Md Said merekodkan keputusan penangguhan hari ini, bagi pihak hakim Hashim Hamzah dan Wong Khian Kheong.

Mengikut ketetapan persetujuan, antara lain, Lim bersetuju membayar kos RM2,000 kepada syarikat itu dan pengasasnya.

Pada 16 Mac lau, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Lim telah memfitnah MonSpace dan Lai, dan memerintahkan ahli parlimen itu membayar ganti rugi RM2 juta.

Lai dan Monspace memfailkan saman sivil terhadap Lim pada 2019 berhubung dakwaannya yang syarikat itu terlibat dalam skim pelaburan yang gagal memberi pulangan kepada pelabur seperti dijanjikan

Hakim Akhtar Tahir juga telah memerintahkan defendan membayar kos RM250,000 dan membuat permohonan maaf secara terbuka.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng hari ini dapat menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi supaya beliau membayar ganti rugi RM2 juta dalam saman fitnah yang difailkan terhadapnya oleh MonSpace (M) Sdn Bhd dan pengasasnya Datuk Seri Jessy Lai Cha Suang.

Peguam Datuk SN Nair, yang mewakili Lim memaklumkan kepada panel tiga hakim Mahkamah Rayuan bahawa perayu (Lim) dan responden-responden telah mencapai persetujuan agar penghakiman yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi pada 16 Mac digantung sementara menunggu penyelesaian rayuan Lim di Mahkamah Rayuan.

“Pihak-pihak terlibat juga bersetuju bahawa perayu harus mendepositkan jumlah penghakiman RM2 juta ke dalam akaun klien di atas nama peguam cara responden-responden iaitu Tetuan AJ Ariffin, Yeo & Harpal sebagai pemegang taruh sehingga pelupusan rayuan dan jumlah itu akan diletakkan di dalam satu akaun simpanan tetap,” kata Nair.

Peguam Datuk Harpal Singh Grewal, yang mewakili MonSpace dan Lai mengesahkan perkara itu.

Perintah persetujuan itu direkodkan oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Seri Kamaludin Md Said, Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Wong Kian Kheong.

Pada 16 Mac lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Lim membayar RM2 juta kepada syarikat e-dagang itu dan Lai selepas membenarkan saman fitnah mereka. Lim kemudiannya memfailkan rayuan pada hari yang sama.

Pada 22 Mei lepas, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur menolak permohonan Lim untuk penangguhan keputusan Mahkamah Tinggi yang menyebabkannya memfailkan permohonan penangguhan baharu itu di Mahkamah Rayuan.

Lai dan MonSpace memfailkan saman terhadap Lim pada Jun 2019, kerana mendakwa Lim mengeluarkan kenyataan fitnah yang diterbitkan dalam akhbar berbahasa Inggeris dan Cina bahawa mereka menjalankan perniagaan haram dan menipu pelabur China.

Lai berkata Lim membuat kenyataan itu pada Mei 2017 dan November 2018 apabila beliau membawa sekumpulan individu, yang dikatakan pelabur MonSpace, ke pejabat Lai dan kemudiannya membuat laporan polis terhadapnya.

Beliau mendakwa kenyataan itu memberi tekanan kepada pihak berkuasa, termasuk polis, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk mengambil tindakan terhadapnya.

Dalam penghakimannya, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir berkata mahkamah mendapati MonSpace dan Lai berjaya membuktikan tuntutan mereka terhadap Lim kerana memfitnah dan kenyataan Lim juga jelas telah mencemarkan imej dan reputasi mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS