Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PARLIMEN | Masih ada segelintir ahli parlimen yang gagal menjalani pemeriksaan kesihatan seperti yang diarahkan, kata Yang di-Pertua Dewan Rakyat Johari Abdul.

Mengucapkan tahniah kepada lebih 200 orang yang melakukan arahan tersebut Johari memberitahu dia akan mengambil tindakan susulan dan memberikan tempoh sehingga esok untuk berbuat demikian.

"Setakat ini, 213 ahli Dewan Rakyat dan enam senator telah lakukan pemeriksaan kesihatan... saya ucapkan tahniah kepada semua

"Namun begitu ada seramai lapan orang ahli parlimen yang masih belum lagi laksanakan pemeriksaan kesihatan," katanya sebelum memulakan sidang pada pagi ini.

Malaysiakini pada 13 Sept lalu melaporkan bahawa Johari mahu semua ahli parlimen melakukan pemeriksaan kesihatan wajib untuk memastikan kesihatan mereka berada pada tahap baik.

Kata Johari surat arahan itu diedarkan kepada semua ahli parlimen pada 12 Sept dan pemeriksaan kesihatan boleh dibuat di Klinik Kesihatan Parlimen Malaysia, klinik kesihatan awam atau fasiliti swasta.

Tarikh akhir untuk mereka melakukan pemeriksaan itu ualah pada 31 Okt lalu.

Sepanjang 15 tahun aktif menjadi ahli politik, menurut Johari, dia sudah menyasikan lebih 11 ahli parlimen 'tumbang' kerana isu kesihatan.

"Kepada ahli parlimen yang belum menjalani pemeriksaan kesihatan ini, sila buat dengan kadar segera dan hubungi klinik parlimen.

"(Jika gagal berbuat demikian) Saya akan paparkan kesemua mereka yang belum menjalani pemeriksaan kesihatan ini pada 1 Dis tahun ini," katanya hari ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS