Cif Inspektor Azilah Hadri dicamkan di Mahkamah Tinggi hari ini sebagai pemandu kereta Proton Wira merah yang membawa wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu dari rumah penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda pada malam dia dikatakan dibunuh, pada 9 Oktober 2006.

Penyiasat persendirian P Balasubramaniam yang bekerja untuk Abdul Razak, mengecam tertuduh pertama dalam perbicaraan pembunuhan Altantuya itu yang duduk di kandang tertuduh.

Katanya, beliau melihat seorang lagi wanita duduk di bahagian belakang bersama Altantuya di dalam kereta itu.

Semalam, Balasubramaniam memberitah mahkamah, Altantunya datang ke rumah Razak bersendirian dengan menaiki teksi pada malam 19 Oktober.

Katanya, beliau kemudiannya menghubungi Razak dan diberitahu bahawa pihak polis sedang perjalanan untuk menahan wanita Mongolia itu. Dia diarah supaya menunggu dan berbual dengan Altantuya sehingga polis tiba.

Selepas itu sebuah kereta Proton Wira berwarna merah tiba. Untuk menghalang Altantuya daripada melarikan diri, Balasubramaniam berkata, pada mulanya dia berbohong kepada wanita Mongolia itu dengan memberitahunya yang 'anggota polis' itu yang kini dikenalpasti Azilah adalah saudara Razak.

Balasubramaniam berkata, dia mendapat tahu mengenai pembunuhan tersebut ketika datang membuat kawad cam di ibupejabat polis kontigen Kuala Lumpur pada 1 November tahun lalu.

"Saya diminta mengenalpasti Azilah," katanya.

Masih berhubungan

Tun Majid kemudiannya bertanya kepada bekas pegawai cawangan khas itu sama ada dia masih lagi menghubungi Razak selepas tarikh perkhidmatan tamat pada 26 Oktober sehingga 7 November tahun lalu.

Balasubramaniam mengesahkan yang dia ada menghubungi Razak sehingga 3 November kerana dia mahu memberitahunya mengenai Altantuya mati dibunuh.

"Saya menelefon Razak banyak kali untuk bertanya mengenainya (kematian Altantuya). Saya bertanya maklumat lanjut daripadanya mengenai apa yang sebenarnya berlaku kepada wanita itu. Dia memberitahu saya yang dia sendiri tidak tahu," jelasnya.

Razak juga ada menghubunginya kerana dia mula menerima ancaman, katanya.

"Dia telah menerima ancaman dari adik perempuan Altantuya yang bernama 'Amy' melalui SMS. Saya tidak pernah berjumpa dengannya sebelum itu. Ancaman SMSnya kepada Razak itu kemudiannya dimajukan kepada telefon saya," katanya.

Perbicaraan bermula jam 9.30 pagi dan terganggu kira-kira sejam selepas pendakwaraya menghadapi masalah dengan dokumen yang perlu dirujuk oleh Balasubramaniam, Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin dan peguam yang lain.

Ketika itu, Razak dilihat mengambil peluang itu untuk berbual dengan anggota keluarganya, termasuk isterinya Mazlinda Makhzan dan anak perempuannya, Rowena, sebelum mahkamah ditangguhkan sewaktu masa makan tengahari.

Azilah, 30, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 35, dari Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman didakwa membunuh Altantuya, 28, di lokasi antara lot 12843 dan lot 16735, Mukim Bukit Raja di sini antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lepas.

Abdul Razak, 46, pula didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar di Wilayah Persekutuan di antara 9.54 pagi,18 Oktober 2006 dan 9.45 malam pada 19 Oktober tahun lalu.