Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penyokong BN dah beralih arah kepada PAS, kata Muhyiddin
Diterbitkan:  Dec 3, 2023 3:30 PM
Dikemaskini: 7:30 AM

Muhyiddin Yassin menganggap keputusan pilihan raya kecil (PRK) yang berlangsung di Kemaman semalam menjadi bukti jelas bahawa PAS semakin kuat, sekali gus mengukuhkan kedudukan PN.

Bekas perdana menteri itu menjelaskan undi yang diterima calon PN, Ahmad Samsuri Mokhtar, semalam meningkat hampir 10,000 undi berbanding apa yang diperolehi mereka dalam PRU ke-15 pada tahun lalu.

Muhyiddin yang juga presiden Bersatu menambah keputusan tersebut juga mengesahkan populariti kerajaan perpaduan kian merosot dan didakwanya ditolak orang ramai khususnya Melayu.

"Buktinya jelas. Undi yang diperolehi oleh calon BN dalam PRK ini jauh lebih rendah berbanding undi yang diperolehi semasa PRU ke-15.

"Ini petanda bahawa penyokong BN sendiri telah beralih arah menyokong PAS," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Ahmad Samsuri mempertahankan kerusi parlimen Kemaman - yang diadakan selepas kemenangan calon PN pada PRU ke-15 dibatalkan mahkamah kerana terdapat unsur rasuah - dengan mengalahkan calon BN, Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Pagi tadi Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan memberitahu parti itu sedia untuk memikul tanggungjawab lebih besar di peringkat nasional dengan kemenangan Ahmad Samsuri.

Kerajaan melalui jurucakapnya Fahmi Fadzil pula sebaliknya menegaskan tidak ada apa-apa yang berubah melalui kemenangan Ahmad Samsuri.

Bahkan Fahmi mengingatkan majoriti besar yang diperolehi menteri besar Terengganu itu tidak setanding dengan apa yang dicatat beberapa ahli parlimen kerajaan termasuk Syahredzan Johan (Bangi) dan Mohamad Sabu (Kota Raja).

Muhyiddin berkata keputusan PRK Kemaman adalan kesinambungan trend pengundi yang menolak BN apabila bekerjasama dengan PH.

"Ini adalah suatu amaran berterusan daripada pengundi kepada BN, khususnya Umno, supaya menilai semula kerjasama mereka dengan PH," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS