Paling Popular
Terkini

Kemenangan PAS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman pada Sabtu lalu bukan satu referendum menunjukkan rakyat berpihak kepada PN seperti didakwa gabungan itu, kata Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri itu berkata jumlah undi yang diperoleh PAS pada PRK itu juga tidak mewakili sokongan majoriti rakyat Malaysia.

"Ini tak boleh anggap sebagai referendum kerana ini kelompok kecil (pengundi) di Kemaman saja.

"Mana mungkin 141,000 pengudi Kemaman dianggap satu referendum, jadi kita harap mereka tidak bermimpi di siang hari," katanya kepada pemberita di Putrajaya, hari ini.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Peluncuran Rancangan Hala Tuju Transformasi Politeknik 2023-2030.

Hadir sama, Menteri Pendidikan Tinggi, Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu.

Semalam, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata Kemenangan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar dalamPRK Kemaman pada Sabtu lalu membuktikan referendum rakyat terus berpihak kepada PN.

Takiyuddin berkata, dengan meraih majoriti lebih besar sebanyak 37,220 undi bukan sahaja menunjukkan penerimaan terhadap kedudukannya sebagai Menteri Besar, malah mengesahkan momentum sokongan menaik kepada PN dalam beberapa siri PRK pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Selain faktor kecelaruan pentadbiran, PAS percaya keputusan PRK Kemaman kali ini juga merupakan penolakan pengundi terhadap ‘politik dana peruntukan’ dan helah tidak bermaruah digunakan Putrajaya untuk paksa serta buli ahli Parlimen pembangkang serta kerajaan negeri yang tidak sehaluan supaya tunduk atau menyokongnya,” ujarnya.

Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin pada Sabtu lalu juga berkata kemenangan Ahmad Samsuri dengan majoriti besar membuktikan PN kini menjadi wadah utama politik orang Melayu.

Kata Hamzah isyarat jelas rakyat menolak kegagalan pentadbiran kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

"Keputusan PRK Kemaman ini merupakan suatu tamparan hebat kepada Anwar dan ia adalah hadiah ulang tahun pertama kegagalan pentadbiran PMX," katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

‘Pengundi putih tak keluar mengundi’

PRK Kemaman menyaksikan PAS berjaya mengekalkan mandat apabila Ahmad Samsuri memperoleh majoriti 37,220 undi.

Ahmad Samsuri mendapat 64,998 undi manakala lawannya daripada BN, Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor memperoleh 25,023 undi.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata peningkatan undi PN itu disebabkan pengundi putih Umno dan BN tidak keluar mengundi.

"Tiada peningkatan sokongan kepada calon PAS, tetapi terdapat pengurangan pengundi putih khususnya Umno, (hanya) 68.3 peratus saja pengundi-pengundi putih Umno yang keluar mengundi.

"Maka ia menyumbang kepada majoriti yang bertambah (kepada PAS) kerana pengundi putih tidak keluar mengundi," kata Ahmad Zahid lagi.

Lihat Komen
ADS