DAP: Liga Pemuda China kritik Hisham hunus keris
Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang mendakwa, kontroversi berhubung tindakan Ketua Pemuda Umno, Datuk Hishammuddin Hussein menghunus keris sewaktu perhimpunan agung pergerakan itu, turut dikritik oleh Setiausaha Pertama Liga Pemuda Parti Komunis China (CYLC), Hu Chunhua.
Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang mendakwa, kontroversi berhubung tindakan Ketua Pemuda Umno, Datuk Hishammuddin Hussein menghunus keris sewaktu perhimpunan agung pergerakan itu, turut dikritik oleh Setiausaha Pertama Liga Pemuda Parti Komunis China (CYLC), Hu Chunhua.
Bagaimanapun, kata Lim, Hishammuddin tidak perasaan yang dirinya dikritik kerana Hu melakukannya secara tersirat dengan menggunakan bahasa diplomatik ketika membangkitkan isu tersebut.
Menurut Lim, ketika membangkitkan isu tersebut Hu (foto) berkata, apa yang penting bukan keris tetapi orang yang menghunusnya.
Lantaran itu, katanya, Hishammudin bertanggapan apa yang disuarakan oleh Hu itu sebagai satu pujian.
Dalam satu kenyataan hari ini, Lim berkata, beliau telah membangkitkan perkara itu sewaktu membahaskan rang undang-undang pindaan Akta Kualiti Alam Sekitar di Dewan Rakyat pagi ini.
Katanya, isu tersebut dibangkitkan sewaktu Hu mengadakan pertemuan dengan Hishammudin sewaktu Ketua Pemuda Umno itu mengadakan lawatan ke China baru-baru ini.
"Kerana Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Md Alwi Che Ahmad membangkitkan semula isu keris itu, terutama signifikannya dari segi budaya, saya merujuk kepada laporan akhbar Sin Chew Daily pada 26 Mei 2007 mengenai pertemuan sejam antara Hishammuddin dengan Hu di Beijing," katanya.
Bahasa diplomatik
Dalam perbincangan tersebut, katanya, Hishammuddin menjelaskan bahawa keris merupakan simbol kepimpinan dan perpaduan, dan Hu menjawab, apa yang penting bukan keris tetapi orang yang menghunus keris tersebut.
Perbincangan antara Hishammuddin dan Hu mengenai isu tersebut diceritakan oleh Ahli Parlimen Puchong, Lau Yeng Peng, yang juga ketua biro pendidikan Pemuda Gerakan, yang hadir sama dalam pertemuan tersebut.
Kenyataan Hu itu, kata Lim, merupakan kritikan terhadap Hishammudin dan Hu nampaknya telah dimaklumkan mengenai kontroversi Ketua Pemuda Umno itu menghunuskan keris di dua kali perhimpunan agung pergerakan itu tanpa mengambilkira hak dan sensitiviti pelbagai kaum di negara ini.
Bagaimanapun, kata Lim, jelas daripada perbahasan di Parlimen pagi ini, bahawa Hishammuddin, Lau, pemimpin Pemuda dan Ahli Parlimen BN tidak menyedari bahawa Hishammuddin telah dikritik secara halus oleh setiausaha pertama CYLC itu.
Bagaimanapun, kata Ketua Pembangkang itu, ia sebaliknya dianggap sebagai satu pujian menyebabkan Hishammuddin dan pemimpin Pemuda BN merasa begitu bangga dengan kenyataan Hu itu.
"Adalah sesuatu yang memeranjatkan apabila Hishammuddin, para pemimpin Pemuda dan Ahli Parlimen BNmereka tidak menyedari bahawa Hu walaupun menggunakan bahasa diplomatik sebenarnya kritikal terhadap kontroversi Hishammuddin menghunus keris itu," katanya.

