Salman Rushdie: PAS hantar memo bantahan pada kjaan British
PAS hari ini menyerahkan memorandum bantahan kepada Kedutaan British kerana penganugerahan gelaran 'Sir' kepada penulis novel surah syaitan, Salman Rushdie.
PAS hari ini menyerahkan memorandum bantahan kepada Kedutaan British kerana penganugerahan gelaran 'Sir' kepada penulis novel surah syaitan, Salman Rushdie.
Memorandum tersebut diserahkan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS, Salahuddin Ayub kepada Ketua Bahagian Politik, Ekonomi dan Diplomasi Umum, James Paver di kedutaan British kira-kira jam 12.30 tengahari tadi.
Hadir sama ialah Bendahari Agung PAS, Dr Hatta Ramli dan Naib Ketua Pemuda, Ahmad Sabki Yusof.
Kira-kira 30 penyokong parti itu yang berhimpun di hadapan bangunan kedutaan tersebut, turut melaungkan 'Allahuakhbar' serta slogan "Hidup Islam, Hancur Salman Rushdie".
Beliau berkata, Paver berjanji akan memanjangkan memorandum tersebut kepada kerajaan British.
Salman, warganegara India kini berlindung di Britain setelah umat Islam di seluruh dunia mengancam untuk membunuhnya kerana didakwa menghina Nabi Muhammad dan agama Islam.
Gesa tarik balik
"Atas nama keamanan dan saling menghormati, PAS menuntut kerajaan British menarik balik penganugerahan itu kepada Salman," katanya kepada pihak media.
Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, pihaknya akan mengambil tindakan susulan berdasarkan respons dari kerajaan British berhubung isu tersebut.
Katanya, tindakan Kerajaan British mengurniakan gelaran 'Sir' kepada Salman menimbulkan semula kemarahan umat Islam walaupun mereka telah melupakan isu tersebut sejak 20 tahun lalu.
"Tiba-tiba kerajaan British dengan tidak bertanggungjawab telah membuat provokasi untuk membangkitkan semula kemarahan umat Islam," katanya.
Dalam memorandum tersebut yang ditandatangani oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menyatakan Salman tidak layak menerima gelaran itu kerana dia bukan seorang penulis yang bijak. Kerjanya terhad, terbatas dan berpandangan sempit mengenai agama Islam.
Selain itu, katanya, Salman telah menimbulkan kemarahan masyarakat Islam di seluruh dunia dengan menghina agama Islam dan Nabi Muhammad S.A.W melalui novelnya ' Satanic Verse' atau Surah Syaitan.
Bangkit di Parlimen
Di samping itu, penghargaan British itu seakan-akan mengesahkan bahawa perbuatan Salman menghina Islam disokong oleh sesetengah kerajaan barat, tambahnya.
Atas nama keamanan dan saling menghormati, PAS menuntut kerajaan British menarik balik penganugeran itu kepada Salman.
Salahuddin berkata, beliau akan membangkitkan isu itu di Parlimen esok .
Sementara itu, Dr Hatta dalam ucapannya berkata, kerajaan British harus menarik balik angugerah itu.
Katanya, PAS sedih kerana anugerah tersebut diberikan oleh kerajaan British dan bukannya oleh badan bukan kerajaan (NGO).
"Kami tidak kisah anugerah itu diberikan kepada sesiapa pun, tetapi bukannya kepada Salman yang mencetuskan api permusuhan antara orang Islam dan Barat," katanya.

