Penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda menangis teresak-esak di kandang tertuduh sambil memeluk anaknya Roweena, ketika perbicaraan kes pembunuhan model sambilan Mongolia Altantuya Shaariibuu di Mahkamah Tinggi, ditangguhkan selama 40 minit.

Pada mulanya mereka dua beranak berbisik membincangkan sesuatu selepas saksi pendakwaan P. Balasubramaniam memberi keterangan mengenai hubungan Abdul Razak dan Altantuya.

Isterinya, Mazlinda Makhzan, beberapa kali mengingatkan Abdul Razak supaya tidak terlalu mengikut perasaan semasa suaminya dilihat sebak ketika bercakap dengan anaknya.

Ibu Abdul Razak, Datin Rohana Abdullah turut menghampiri Abdul Razak dan cuba menenangkannya dengan berkata "Sabar ya, sabar" sambil memeluk erat anaknya itu, demikian menurut laporan Bernama

Keluarga Abdul Razak sentiasa hadir untuk memberi sokongan kepadanya sejak hari pertama perbicaraan begitu juga dengan keluarga Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar yang dituduh membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja di Shah Alam antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.

Abdul Razak, 46, pula didakwa melakukan kesalahan bersubahat dengan Azilah, 30, dan Sirul Azhar, 35.

Keluarga kedua-dua anggota polis Unit Tindakan Khas dari Bukit Aman itu bagaimanapun dilihat tidak terlalu lama berbual dengan mereka.

Sebelum prosiding bermula, Mazlinda sempat menyemburkan minyak wangi di badan dan menyapu krim di muka Abdul Razak walaupun penganalisis politik itu cuba menepis.

Perbicaraan hari ini ditamatkan lebih awal, pada pukul 4 petang, selepas pada awal prosiding peguam Abdul Razak, Wong Kian Kheong membuat permohonan kerana perlu menghadiri satu mesyuarat penting dan peguam Hazman Ahmad yang mewakili Azilah mahu menemankan isterinya yang kurang sihat berjumpa doktor.

Hakim Mohd Zaki Md Yasin bagaimanapun memulakan sesi petang lebih awal setengah jam, pada jam 2 petang.