Penyiasat persendirian P Balasubramaniam memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini bahawa sepanjang berkhidmat dengan Abdul Razak Abdullah Baginda, penganalisis politik itu tidak pernah menyuruhnya membunuh atau mencederakan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Tujuan utama beliau dilantik oleh Abdul Razak, kata Balasubramaniam ialah hanya untuk menghalang Altantuya daripada mengganggu penganalisis politik itu.

Beliau membuat keterangan tersebut sewaktu disoal balas oleh Wong Kian Kheong, peguambela Abdul Razak, di hari keempat perbicaraan kes pembunuhan Altantuya, demikian menurut laporan Bernama.

Abdul Razak, 46, menghadapi tuduhan bersubahat dengan Cif Insp Azilah Hadri, 30, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 35, di Wilayah Persekutuan antara 9.54 pagi 18 Okt 2006 dan 9.45 malam pada 19 Okt tahun lalu dalam kes pembunuhan wanita itu.

Azilah dan Sirul Azhar, kedua-duanya dari Unit Tindakan Khas, Bukit Aman, dituduh membunuh Altantuya, 28, di lokasi antara lot 12843 dan lot 16735, Mukim Bukit Raja di sini antara 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.

Menjawab soalan Wong mengenai pengalamannya sebagai penyiasat persendirian, Balasubramaniam berkata, ada pelanggan melantiknya untuk menyiasat sesuatu yang berkaitan dengan hal-hal sulit yang mereka tidak mahu melaporkan kepada polis.

Balasubramaniam turut memberitahu mahkamah bahawa beliau bersetuju dengan lima alasan yang dibentangkan oleh Wong, ketika menyoal balasnya, mengenai kenapa Abdul Razak tidak mahu membuat laporan polis terhadap Altantuya yang didakwa mengganggu Abdul Razak di pejabat dan rumah penganalisis politik itu.

Fakta-fakta yang dibentang peguambela itu ialah:

Abdul Razak tidak mahu publisiti;

Tidak mahu apa-apa perkara yang tidak diingini berlaku kepada Altantuya;

Peguam Abdul Razak menyuruh Balasubramaniam tunggu sehingga Altantuya

kehabisan semua wangnya dan balik ke Mongolia tanpa sebarang insiden;

Abdul Razak akan berlepas ke Hong Kong pada 24 Oktober 2006 iaitu pada

hari pertama Hari Raya Puasa; dan;

Balasubramaniam telah meletakkan pekerjanya di hotel Altantuya dan dua rakannya menginap, dan di pejabat Abdul Razak.

Tak mahu publisiti

Sementara itu, bekas pegawai cawangan khas itu juga bersetuju dengan kenyataan Wong bahawa Razak dan peguam keluarga penganalisa politik itu, Dhiren Rene Norendra tidak mahu sebarang perkara buruk berlaku terhadap Altantuya.

Balasubramaniam juga menegaskan bahawa kedua-dua mereka telah memintanya supaya menunggu sehingga Altantuya kehabisan wang dan dia akan pulang semula ke Mongolia sepertimana yang berlaku pada bulan Ogos sebelumnya.

Beliau juga mengesahkan bahawa Dhiren turut hadir ketika Razak menyatakan dia tidak mahu sebarang publisiti mengenai isu tersebut.

Balasubramaniam juga berkata, beliau tahu yang Razak akan berlepas ke Hong Kong pada 24 Oktober dan isteri Razak (Mazlinda Makhzan) dan anak perempuan Razak (Rowena) akan berlepas ke London pada 26 Oktober.

Berdasarkan kepada fakta-fakta tersebut, Wong bertanya kepada Balasubramaniam sama ada beliau bersetuju yang Razak tidak perlu membuat sebarang laporan mengenainya, di mana Balasubramaniam menjawab iya.

[Sebelum ini, Balasubramaniam, dalam keterangannya, memberitahu mahkamah, beliau telah menasihatkan Razak sebanyak dua kali supaya membuat laporan polis mengenai gangguan Altantuya itu, tetapi Razak tidak berbuat demikian]

Disimpan dalam komputer

Sebelum itu, saksi tersebut mengakui bahawa Razak berkata yang dia mahu kes itu dirahsiakan. Katanya, semua hasil penyiasatan direkod dalam computer di rumahnya.

Maklumat bahawa saksi tersebut telah ditahan reman oleh polis sebanyak dua kali, juga timbul sewaktu sesi soalsiasat oleh peguambela Koperal Sirul Azhar Umar Kamarul Hisham.

Wong kemudian bertanya lagi sama ada Balasubramaniam telah memberi kenyataan mengenai tuntutan Altantuya sewaktu ditahan reman.

Saksi itu berkata, beliau tidak ingat, menyebabkan Wong memohon kebenaran Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin untuk meneliti kanyataan tersebut di bawah Seksen 159 Akta Keterangan.

Mohd Zaki membenarkan dan menangguhkan perbicaraan untuk makan tengahari.