Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rafizi: Peranan Teraju distrukturkan semula - Rafizi
Diterbitkan:  Dec 7, 2023 8:39 PM
Dikemaskini: 12:54 PM

Peranan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) akan distrukturkan semula dengan menumpukan kepada usaha meningkatkan skala perusahaan bumiputera yang berdaya saing, termasuk meningkat daripada perusahaan kecil kepada sederhana.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata Teraju adalah antara agensi di bawah Kementerian Ekonomi yang diberikan mandat untuk membangunkan ekosistem perniagaan dan ekonomi bumiputera.

“Kita sekarang sedang melalui proses untuk menetapkan dan menyelaraskan kembali fungsi Teraju dalam keseluruhan ekosistem pemerkasaan ekonomi bumiputera.

“Sebabnya kita ada banyak (agensi yang membantu perniagaan bumiputera), ada Majlis Amanah Rakyat, SME Corporation Malaysia, jadi kita nak pastikan supaya Teraju itu betul-betul fokus dan tidak ada pertindihan dengan agensi kerajaan yang lain,” katanya ketika ditemui pemberita semasa Hari SUPERB Networking di Cyberjaya, hari ini.

Rafizi berkata penstrukturan semula fokus dan peranan Teraju adalah sebahagian daripada persediaan untuk dasar baharu mengenai bumiputera yang akan dibentangkan di Kongres Ekonomi Bumiputera tahun hadapan.

“Kita berharap Teraju dapat memainkan peranan utama dengan memberi tumpuan menskalakan perusahaan bumiputera sebab antara masalah utama dalam ekonomi kita ada banyak syarikat tapi di peringkat itu sahaja, untuk meningkat daripada saiz mikro atau kecil ke sederhana pun payah.

“Jadi, antara fungsi yang kementerian sedang berkerjasama dengan Teraju adalah untuk membina kepakaran supaya syarikat bumiputera dapat diskalakan. Kita sedang bangunkan program khusus untuk menskalakan perniagaan bumiputera,” katanya.

Teraju yang ditubuhkan pada 2011 di bawah Jabatan Perdana Menteri berperanan menerajui, menyelaras dan memacu agenda Bumiputera bertujuan meningkatkan penguasaan kumpulan berkenaan dalam ekonomi negara.

- Bernama

 

Lihat Komen
ADS