Dia berpuasa, kata isteri Razak Baginda
"Dia berpuasa," dan tidak dapat tidur nyenyak sejak ditahan enam bulan lalu, kata isteri Abdul Razak Abdullah Baginda, Mazlina Makhzan.
"Dia berpuasa," dan tidak dapat tidur nyenyak sejak ditahan enam bulan lalu, kata isteri Abdul Razak Abdullah Baginda, Mazlina Makhzan.
Beliau berkata, anakya Rowena juga mengadu bapanya tidak dapat tidur nyenyak.
Mazlinda memberitahu demikian ketika disapa wartawan selepas kes perbicaraan suaminya ditangguhkan untuk makan tengah hari, demikian menurut laporan Bernama.
Beliau yang kelihatan tenang dan melayan pemberita dengan mesra berkata, Rowena mengambil cuti setahun daripada belajar untuk bersama-sama keluarga mengikuti perbicaraan kes mahkamah bapanya itu.
Menurut Mazlinda, Rowena adalah "seorang anak yang baik, tidak pernah tinggal sembahyang."
Mazlinda berkata beliau berpuas hati dengan laporan media berhubung perbicaraan suaminya.
"Saya puas hati tengok gambar dan headline (tajuk akhbar) Utusan. Alhamdulillah apa yang dilaporkan adalah tepat," katanya kepada pemberita hari ini.
'Tugas sebagai isteri'
Ditanya mengenai dirinya dan keluarganya yang datang ke mahkamah setiap hari, Mazlinda berkata beliau hanya menjalankan tugas sebagai isteri Abdul Razak.
"Sama seperti anda (wartawan) menjalankan tugas anda," tambahnya.
Mazlinda dan Rowena setiap hadir hadir di mahkamah dengan ditemani anggota keluarga mereka yang lain.
Abdul Razak, 46, menghadapi tuduhan bersubahat dengan Cif Insp Azilah Hadri, 30, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 35, di Wilayah Persekutuan antara 9.54 pagi 18 Oktober 2006 dan 9.45 malam pada 19 Oktober tahun lalu dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Azilah dan Sirul Azhar, kedua-duanya dari Unit Tindakan Khas, Bukit Aman, dituduh membunuh Altantuya, 28, di lokasi antara lot 12843 dan lot 16735, Mukim Bukit Raja di sini antara 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.
Sementara itu, suasana di luar Kompleks Mahkamah Shah Alam, tempat perbicaraan kes pembunuhan Altantuya dijalankan, hari ini begitu tenang tanpa sebarang gangguan.
Sepupu Altantuya
Malah sepupu Altantuya, Burmaa Oyunchimeg atau lebih dikenali sebagai Amy yang menjadi saksi dalam kes berkenaan, turut memberi kerjasama ketika jurugambar ingin merakamkan gambarnya ketika keluar sebentar dari bilik saksi diiringi Konsul Kehormat Mongolia ke Malaysia Datuk Syed Abdul Rahman Alhabshi.
Amy, yang merupakan saksi penting kes bunuh itu yang sebelum ini sentiasa berkaca mata hitam dan mengelak gambarnya dirakam, kali ini hadir dengan hanya bertopi tanpa kaca mata.
Malah beliau dilihat melayan kehendak jurugambar dengan tersenyum sambil melambai tangan.
Keluarga Altantuya tiba di mahkamah kira-kira pada jam 7.50 pagi, manakala ketiga-tiga tertuduh, Abdul Razak, Azilah, dan Sirul Azhar sampai pada jam 8.30 pagi.
Sebaik tiba, Abdul Razak dilihat melambai mesra serta tersenyum kepada anggota keluarga dan isterinya yang setia menunggu di perkarangan mahkamah sejak awal pagi.
Sementara itu, turut kelihatan di perkarangan mahkamah ialah anggota keluarga Azilah yang terdiri daripada adik, tunang serta keluarga tunangnya dan juga adik perempuan Sirul, manakala bapa Altantuya, Shaariibuu Setev dan sepupunya sampai pada jam 10.10 pagi.
Shaariibuu mula senyum
Sementara itu, Bernama juga melaporkan, bapa Altantuya, Shaariibuu Setev, mula menampakkan kemesraan apabila berhadapan dengan wartawan dan jurugambar yang tidak henti-henti cuba merakam gambarnya.
Jika sebelum ini wajahnya sentiasa kelihatan masam, hari ini Shaariibuu, 57, lebih mudah tersenyum dan melambaikan tangan apabila namanya dipanggil.
Sebaik tiba di mahkamah pagi tadi, Shaariibuu sempat menunjukkan ibu jari tanda bagus kepada jurugambar.
Anak saudaranya, Burmaa Oyunchimeg atau lebih dikenali sebagai Amy, juga mula menunjukkan wajahnya dan tidak lagi mengenakan kaca mata hitam untuk mengelakkan dirinya daripada dikenali umum.
Konsul Kehormat Mongolia ke Malaysia, Datuk Syed Abdul Rahman Alhabshi, berkata Amy bertindak demikian selepas beliau menasihat serta memujuknya beberapa kali supaya tidak menyembunyikan wajahnya daripada dirakam.
Bagaimanapun seorang lagi anak saudaranya, Gal-Ochir Uuriintuya dan kawan Altantuya, Namiraa Gerelma, masih memakai cermin mata hitam dan mengelak wajah mereka dirakam.
Mereka berada di sini untuk mengikuti perbicaraan pembunuhan Altantuya.

