Abdul Rahman Othman keluar PKR
Bekas Bendahari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Abdul Rahman Othman telah keluar parti itu dan memohon menjadi ahli PAS kawasan Subang Jaya semalam.
Bekas Bendahari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Abdul Rahman Othman telah keluar parti itu dan memohon menjadi ahli PAS kawasan Subang Jaya semalam.
Ketika dihubungi hari ini, calon presiden PKR dalam kongres nasional di Seremban akhir bulan lalu mengesahkan beliau telah keluar PKR dan memohon menyertai PAS.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengapa beliau meninggalkan PKR, parti yang disertainya sejak pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari Umno dan kerajaan pada 1998.
"Saya tidak perlu memberitahu mengapa saya meninggalkan PKR, apa yang penting saya masih menyertai pembangkang (PAS)," katanya.
Dalam kongres nasional PKR, Abdul Rahman dicalon untuk jawatan presiden bersama Anwar dan penyandangnya, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail.
Beliau bagaimanapun, menarik diri di saat-saat akhir apabila Anwar mengumumkan tidak boleh bertanding kerana sekatan Pendaftar Pertubuhan (ROS). Berikutan itu, Wan Azizah menang tanpa bertanding jawatan presiden PKR.
Keluar parti
Abdul Rahman bersalam dan memeluk Anwar dan beberapa pemimpin PKR lain sebaik sahaja beliau naik ke atas pentas untuk menyerahkan nota ringkas menyatakan beliau menarik diri dari bertanding jawatan presiden.
Dalam pilihanraya umum lalu, Abdul Rahman bertanding atas tiket PKR di kawasan Parlimen Putrajaya tetapi kalah kepada Menteri Pelancongan, Datuk Tengku Adnan Mansor.
Beliau juga pernah menjadi Timbalan Presiden Parti Keadilan (PKN) sebelum parti itu bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) dalam pemilihan di Kemaman pada 2001.
Sementara itu, bekas Pengerusi PKR Kedah, Akashah Ismail juga telah keluar parti itu dan akan menyertai PAS tidak lama lagi.
"Saya telah menghantar surat keluar parti kepada ibu pejabat parti dan PKR Kedah dua minggu lalu kerana PKR kini bukan lagi untuk rakyat bawahan," katanya.
Akashah, bekas ketua PKR bahagian Jerai menjadi pengerusi PKR Kedah yang ketiga selama dua tahun dari 2001 sebelum digantikan oleh Johari Abdul.

