Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), menganjurkan Muktamar Sanawi (Muktamar Belia Islam) kali ke-52, pada 8 hingga 10 Disember 2023, bertempat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Persidangan kali ini menyaksikan berlakunya perubahan tampuk kepimpinan dengan pelantikan Ahmad Fahmi Mohd Samsudin sebagai presiden bagi menerajui kepimpinan sesi 2023-2025.
Sebelumnya, beliau merupakan naib presiden Abim dari tahun 2019 sehingga 2023 dan berperanan sebagai ketua pegawai eksekutif Global Peace Mission (GPM) Malaysia.
Berikut adalah senarai ahli jawatankuasa kerja kanan Abim untuk sesi kepimpinan 2023-2025 sebagaimana disepakati oleh para perwakilan:
Presiden : Ahmad Fahmi Mohd Samsudin
Timbalan Presiden : Mohd Faridh Hafez Mhd Omar
Naib-Naib Presiden : Fatin Nur Majdina Nordin
Zairudin Hashim
Adli Zakuan Zairakithnaini
Mohammad Fazril Mohd Saleh
Ahmad Fawwaz Ahmad Shukri
Setiausaha Agung : Muhamad Aliemran Norasid
Setiausaha Kewangan : Wan Noor Fadhilah Wan Ibrahim
Penolong Setiausaha Agung : Ahmad Farhan Rosli

Bersempena Muktamar Belia Islam ini juga dianjurkan Ijtimak Harakiy kali ketujuh dan Seminar Nasional Peradaban Madani 2023: Kebangkitan Nusa dan Anjakan Global dengan kerjasama Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) di Hotel Everly, Putrajaya.
Seminar ini telah menampilkan tokoh-tokoh berwibawa yang mengupas topik yang penting ini.
Dalam acara yang sama, ucapan dasar presiden Abim yang bertemakan “Membangun Negara Madani Dalam Penghayatan Amanah Iktikhlaf: Kelanjutan Kesinambungan Kosmopolitan Islam“ disampaikan oleh [residen Abim sebelumnya, Muhammad Faisal Abdul Aziz.
Inisiatif Abim ini merupakan suatu tekad untuk terus berperanan dalam merealisasikan agenda ‘Malaysia Madani’ yang merupakan suatu kerangka penting dalam pembangunan peradaban Malaysia yang gemilang seterusnya membangkitkan kekuatan negara bagi menganjak paradigma baharu dunia global.
Menyedari keterikatan terhadap faktor politik serta ekonomi tidak memadai untuk menjayakan gagasan besar ini, Abim akan terus menggerakkan agenda ini menerusi elemen pendidikan dalam kalangan generasi muda, pembinaan institusi keluarga, dan pembentukan masyarakat yang secara kolektif agar mampu memberi impak kepada sosio politik dan ekonomi negara.
Bagi pihak barisan kepimpinan yang baharu, kami mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada barisan kepimpinan sebelumnya yang diterajui oleh Muhammad Faisal Abd Aziz dan para ahli jawatankuasa sebelumnya atas jasa dan khidmat bakti yang dicurahkan.
Abim juga merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih buat Perdana Menteri Anwar Ibrahim atas kesudian hadir merasmikan Majlis Makan Malam Memori Perjuangan: Melakar Nahdah Ummah.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran mantan pimpinan Abim Fadhlina Siddiq, menteri pendidikan dan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustafa Sakmud.
Rakaman penghargaan dan terima kasih juga kepada menteri luar negeri Malaysia, Zambry Abdul Kadir yang merasmikan Seminar Peradaban Madani 2023: Kebangkitan Nusa dan Anjakan Global dan kehadiran Senator Mohd Na’im Mokthar, menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang turut hadir sempena penganjuran seminar dan persidangan yang dijalankan.
AHMAD FAHMI MOHD SAMSUDIN ialah presiden Abim.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
