Altantuya juga dikenali sebagai Amina, kata bapanya
Wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu juga dikenali oleh rakan-rakannya sebagai Amina yang bermaksud "nyawa" dalam bahasa Mongol.
Wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu juga dikenali oleh rakan-rakannya sebagai Amina yang bermaksud "nyawa" dalam bahasa Mongol.
Bapanya, Dr Shaariibuu Setev memberitahu mahkamah bahawa perkataan "Amina" disebut sebagai "emna" dalam bahasa Mongol dan merujuk kepada wanita, manakala lelaki pula disebut "emin".
Dr Shaariibuu, yang juga seorang profesor psikologi, memberitahu demikian ketika diminta mengecam anaknya itu melalui gambar oleh pihak pendakwaan.
Dr Bernama melaporkan, Dr Shaariibuu, 57, memberitahu mahkamah, kali terakhir beliau mendapat berita tentang anak perempuan sulungnya itu ialah apabila pegawai dari Kementerian Luar Mongolia memaklumkan kepadanya bahawa Altantuya telah dibunuh.
Ketika itu, beliau tiba-tiba sebak dan menanggalkan kaca matanya serta mengesat air mata dan menutup mukanya dengan kedua-dua tapak tangan, apabila ditanya oleh Timbalan Pendakwaraya Manoj Kurup tentang anak perempuan bongsunya yang bernama Altanzul.
Dr Shaariibuu yang memberi keterangan dalam bahasa Mongol, dapat mengawal perasaan untuk seketika, sebelum sebak sekali lagi apabila beliau diminta mengecam sekeping gambar pasport Altantuya berambut pendek yang dibesarkan, sambil berkata: "Ya, ini anak perempuan saya".
Keterangannya diterjemahkan ke bahasa Inggeris oleh jurubahasa Ehkhjargal Tsetsgee.
Bagaimanapun, apabila Manoj bertanya mengenai nama anaknya, sambil menangis, Shaariibuu memberitahu mahkamah, walaupun menjadi adat bagi orang Mongolia untuk tidak menyebut nama orang yang telah meninggal dunia, tetapi beliau akan menyebut nama anaknya itu jika dia diperlukan berbuat demikian.
Pada peringkat ini, Manoj meminta maaf kepada Shaariibuu dan berkata beliau perlu meminta warga Mongolia itu menyebut nama anaknya untuk direkodkan oleh mahkamah.
Shaariibuu yang duduk di tempat saksi kemudian menyebut nama anaknya itu dengan nada yang amat perlahan.
Hakim Datuk Mohd Zaki Yasin kemudian menangguhkan perbicaraan selama 30 minit bagi membolehkan Shaariibuu menenangkan dirinya.
Terdahulu, bapa kepada dua anak perempuan itu berkata kali terakhir beliau berbual dengan Altantuya ialah pada awal Oktober tahun lalu, sebelum anaknya itu berlepas ke Malaysia bersama dua wanita, Namiraa Gerelmaa, yang mempunyai hubungan dengannya melalui isterinya, dan Gal Ochir Uurintuya, kawan Altantuya.
Katanya, saudara perempuan Uurintuya menjaga anak Altantuya.
Shaariibuu berkata, apabila beliau bertanya kepada Altantuya siapakah lelaki bernama Baginda, anaknya itu berkata dia pertama kali bertemu lelaki itu di Hong Kong pada 2004.
"Itulah kali terakhir saya melihatnya dan saya datang ke Malaysia selepas menerima berita tentang kematiannya pada awal November tahun lalu," katanya.
Shaariibuu, saksi kedua pendakwa, memberi keterangan pada hari kelima perbicaraan melibatkan Cif Insp Azilah Hadri, 30, dan Kpl Sirul Azhar Umar yang dituduh membunuh Altantuya, 28, di suatu tempat antara Lot 12843 dan Lot 16735, Mukim Bukit Raja, pada jam 10 malam 19 Okt dan jam 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.
Penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda, 46, pula dituduh bersubahat dengan dua anggota polis dari Unit Tindakan Khas itu, untuk membunuh wanita berkenaan di Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, antara jam 9.54 pagi pada 18 Oktober dan jam 9.45 malam 19 Oktoer tahun lalu.
Dr Shaariibuu berkata beberapa pegawai polis, termasuk seorang yang bernama DSP Gan Teck Sing, datang menemuinya di bilik hotel di Kuala Lumpur bersama seorang doktor wanita, Dr Noor Azleen Ayop dan seorang jururawat, Nor Azilla Ibrahim, untuk mengambil contoh darahnya bagi menjalankan ujian DNA.
Kata Shaariibuu, Konsul Kehormat Mongolia di Malaysia, Datuk Syed Abdul Rahman Alhabshi ada bersamanya di hotel berkenaan ketika dia mengalami tekanan ketika itu.
Warga Mongolia itu berkata tidak lama kemudian, beliau dimaklumkan tentang keputusan ujian berkenaan yang menunjukkan bahawa DNA yang diambil daripadanya mempunyai persamaan dengan DNA yang terdapat pada mayat anaknya.
Manoj: Adakah DSP Gan memberitahu kamu mayat yang macam mana?
Dr Shaariibuu: Saya tak diberitahu tentang itu.
Manoj: Tapi, kamu diberitahu bahawa mayat anak kamu itu ada.
Dr Shaariibuu: Ya. Saya diberitahu terdapat tulang.
Manoj: Adakah betul jika dikatakan bahawa pada masa itu kamu tahu anak kamu sudah meninggal dunia?
Dr Shaariibuu: (Pada masa itu) saya berdoa agar anak saya masih hidup. Tapi, oleh kerana ia sama (DNA), saya tahu dia telah meninggal dunia.
Terdahulu, Dr Shaariibuu berkata beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada kira-kira jam 11 atau jam 12 tengah malam pada 9 November tahun lalu dan disambut oleh Syed Abdul Rahman serta beberapa pegawai polis yang beliau tidak ingat nama mereka.
Dr Shaariibuu berkata beliau kemudian dibawa ke sebuah hotel, tetapi beliau tidak ingat nama hotel itu dan berkata "ia sebuah hotel sangat tinggi" dan dia tinggal di tingkat 11 hotel berkenaan.
Manoj: Kamu kata DSP Gan, doktor dan jururawat, mahu mengambil darah kamu. Adakah mereka beritahu kamu kenapa?
Dr Shaariibuu: Ya. Mereka kata jangan bimbang, bertenang, ketika mengambil darah saya.
Manoj: Adakah mereka beritahu kenapa mereka ambil darah kamu?
Dr Shaariibuu: Untuk contoh darah.
Manoj: Adakah mereka kata mereka ingin buat ujian DNA dengan menggunakan darah kamu?
Dr Shaariibuu: Ya.
Dr Shaariibuu berkata beliau memberi kebenaran kepada doktor berkenaan untuk mengambil contoh darahnya dan menandatangani satu borang, "Borang kebenaran ambil contoh darah".
Beliau berkata borang itu ditulis dalam bahasa Malaysia dan kandungannya dijelaskan kepada beliau oleh DSP Gan dalam bahasa Inggeris.
Kandungan borang itu, kata Shaariibuu, diterjemahkan kepadanya dalam bahasa Mongol oleh Enkhjargal.
Pada peringkat ini, pihak pendakwaan sekali lagi mempersoalkan tentang pelantikan Enkhjargal sebagai jurubahasa mahkamah bagi perbicaraan ini.
Peguam Kamarul Hisham yang mewakili Sirul Azhar bangun dan memberitahu mahkamah bahawa Enkhjargal berpotensi menjadi saksi dan mungkin dipanggil untuk memberi keterangan tentang apa yang dikatakan kepadanya oleh DSP Gan pada hari berkenaan.
Peguam Abdul Razak, Wong Kian Kheong, berhujah bahawa pada pendapat beliau Enkhjargal masih boleh membantu mahkamah walaupun beliau mungkin akan dipanggil sebagai saksi kerana tugasnya sebagai jurubahasa dipengaruhi nilai keterangan yang ditafsirkan olehnya.
Katanya, tidak ada undang-undang yang mengecualikan jurubahasa daripada membantu mahkamah tetapi pendakwaan mengambil risiko menggunakannya (Enkhjargal) walaupun beliau mungkin dipanggil sebagai saksi dalam perbicaraan itu.
Timbalan Pendakwaraya Tun Abdul Majid kemudian memberitahu mahkamah bahawa pihaknya tiada halangan kerana pihak pendakwaan masih mempunyai ramai saksi yang boleh menunjukkan siapa yang mengambil contoh darah Shaariiibuu pada hari itu.
"Saya tidak melihat sebarang konflik kepentingan. Pelantikan jurubahasa (Enkhjargal) telah dipohon oleh mahkamah dan mahkamah telah meminta Konsul (Konsul Mongolia di Malaysia) untuk melantik jurubahasa. Ini saja mereka ada," kata Tun Abdul Majid.
Menjawab soalan mahkamah, Tun Abdul Majid berkata nama Enkhjargal tidak tersenarai sebagai saksi dan sekiranya pihak pendakwaan menanggung risiko apabila melantik Enkhjaral sebagai jurubahasa, maka pihak beliau sedia menghadapinya.
Karpal Singh yang bertindak sebagai peguam pemerhati bagi pihak keluarga Altantuya kemudian memberitahu mahkamah supaya meneruskan perbicaraan sekiranya peguam bela tidak mencabar secara serius bukti tentang pengambilan contoh darah berkenaan.
Peguam Wong Kian Kheong, yang mewakili Abdul Razak, bagaimanapun berkata, pada pendapatnya, pelantikan jurubahasa itu tidak akan banyak menjejaskan perbicaraan dan lagipun tiada undang-undang yang menghalang mahkamah daripada berbuat demikian.
Ketiga-tiga tertuduh boleh dikenakan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.
Sementara itu, Dr Shaariibuu mengadu kepada mahkamah bahawa isteri Abdul Razak Abdullah Baginda, Mazlinda Makhzan telah mengganggunya sejak hari pertama perbicaraan.
Shaariibuu Setev memberitahu perkara itu pada sesi pagi selepas perbicaraan bersambung selepas ditangguhkan selama 30 minit dengan berkata, gangguan itu memberi tekanan kepadanya.
"The last incident is just now, before the break, she hit my body (Kejadian terbaru baru sebentar tadi, sebelum penangguhan, dia pukul badan saya)", katanya yang mengundang suara rungutan daripada anggota keluarga Abdul Razak yang turut hadir dan mengikuti sepanjang perbicaraan itu yang bermula Isnin lalu.
Hakim Mohd Zaki kemudian meminta pihak pendakwaan mengasingkan kedua-dua keluarga selain meminta peguam Wong Kian Kheong yang mewakili Abdul Razak supaya menasihati Mazlinda (foto) berhubung aduan Shaariibuu itu.

