GMI perolehi 15,000 tandatangan desak mansuh ISA

   

Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) telah berjaya mengumpulkan 15,000 tandatangan menyokong desakan supaya kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan membebaskan semua tahanan ISA di Kamunting, kata Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh.

Katanya, tandatangan itu diperolehi melalui 'Kempen 25,000 Tandatangan Rakyat Menentang ISA' yang sedang diadakan di seluruh negara.

Kempen tandatangan itu dimulakan secara rasmi sewaktu muktamar PAS ke-53 di Kelantan baru-baru ini, kata Syed Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini.

"Matlamat utama GMI menganjurkan kempen tersebut adalah untuk menegaskan lagi perjuangan menuntut ISA dimansuhkan.

"Ia juga membuktikan desakan rakyat terhadap kerajaan untuk memansuhkan ISA masih kuat dan relevan pada masakini.

"Apatah lagi selepas kami mendapat tahu daripada tahanan bahawa penahanan terbaru telah dilakukan oleh kerajaan," katanya.

Syed Ibrahim berkata, kempen tandatangan itu akan diteruskan, termasuk di Pulau Pinang pada 24 Jun ini, sempena sambutan Pesta Rakyat Merdeka dan sambutan dua dekad Madrasah Nurulhidayah di Kuala Ketil, Kedah pada 24 dan 25 Jun.

Serah kain rentang

Hari ini, katanya, GMI menyerahkan kain rentang kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bersama-sama dengan pimpinan PAS dan 83 organisasi termasuk badan-badan NGO, parti politik, kesatuan sekerja, pertubuhan wanita, pelajar dan kumpulan masyarakat, yang menyeru:

Agar Suhakam memainkan peranan untuk terus mendesak kerajaan supaya tidak terus membisu tentang tuntutan rakyat yang mahukan undang-undang zalim ini dihapuskan.

Suhakam menghubungi Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) dan mendesak penjelasan diberikan tentang kaedah dan syarat pembebasan tahanan.

Suhakam menegaskan kembali pendiriannya supaya ISA dimansuhkan dan semua tahanan diberikan hak perbicaraan atau dibebaskan sahaja.

Suhakam menekankan Kerajaan untuk bersikap konsisten dalam polisinya terhadap rakyat Malaysia yang ditahan tanpa bicara.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In