Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K’jaan nafi subsidi diesel dihapuskan mulai 1 Januari
Diterbitkan:  Dec 13, 2023 10:51 AM
Dikemaskini: 2:51 AM

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menafikan dakwaan di media sosial, yang kononnya subsidi diesel akan dihapuskan bagi penggunaan kenderaan bermula 1 Jan depan.

KPDN dalam kenyataan menegaskan dakwaan itu tidak benar dan sebaliknya kementerian itu sedang melaksanakan projek rintis bagi melihat keberkesanan sistem fleet card dan Sistem MySubsidi Diesel, melibatkan enam syarikat yang menerima kuota bagi skid tank, yang akan tamat tempoh pada 14 Jan ini.

Menurut kenyataan itu, projek rintis berkenaan sama sekali tidak melibatkan pengguna kenderaan diesel individu.

“Proses pengujian ini perlu dilaksanakan bagi melihat kecekapan sistem yang dibangunkan, agar ia benar-benar menepati spesifikasi dan matlamat penyasaran semula subsidi diesel, seperti mana yang dirancang.

“KPDN berharap agar tidak ada mana-mana pihak menghebahkan sesuatu perkara yang tidak jelas dan boleh mengelirukan orang ramai,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan KPDN itu memaklumkan, sebarang pengumuman rasmi berhubung mekanisme pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel akan dibuat kementerian itu dan Kementerian Kewangan, setelah sesi libat urus dan jalanan ujian sistem fleet card dan Sistem MySubsidi Diesel, selesai dilaksanakan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS