PAS mendakwa Umno cuba mempropagandakan legasi kecemerlangan Tun Razak Hussein seorang tokoh yang berwawasan dalam membangunkan bangsa Melayu untuk menutup kelemahan dan penyelewangan dalam parti tersebut.

"Kecemerlangan Tun Razak cuba dipropagandakan oleh pemimpin Umno hari ini melalui Seminar Legasi Tun Razak untuk menutup kelemahan, penyelewengan dan kegagalan Kerajaan Barisan Nasional (BN) mencapai objektif Dasar Ekonomi Baru (DEB)," kata Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar.

"Pendedahan dan maklumat baru tentang usaha-usaha dan strategi Tun Razak untuk membangunkan Malaysia melalui seminar ini memang bermanfaat kepada pengkaji dan ahli akademik, tetapi tidak mempunyai apa-apa makna kepada rakyat.

"Selepas melancarkan DEB, Tun Razak telah kembali ke rahmatullah pada 1975 tanpa dapat melihat kejayaan atau kegagalan dasar ini yang disasarkan pada 1990," katanya dalam satu kenyataan.

Mahfuz berkata, PAS tidak menolak peranan Tun Razak yang begitu besar dalam mengangkat semula martabat orang Melayu selepas tragedi 13 Mei 1969.

"Bahkan, PAS menganggap Tun Razak adalah tokoh yang berwawasan dalam membangunkan bangsa Melayu," katanya.

Menurut beliau, 20 tahun selepas DEB dilancarkan, ternyata sasaran untuk membentuk 30 peratus ekuiti Melayu tidak dapat dicapai, bahkan sebahagian besar ekuiti yang dikatakan 'milik' orang Melayu itu adalah dipunyai oleh agensi kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara), dan Lembaga Pembangunan Bandar (UDA).

'Melayu hilang hak'

Bahkan, Mahfuz mendakwa orang Melayu sebaliknya telah kehilangan sebahagian besar hak mereka yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Lihat sahaja nasib tanah rezab Melayu, biasiswa, kuota universiti, bahasa Melayu dan juga kedudukan agama Islam yang semakin terancam yang boleh dianggap 'counter productive; kepada DEB yang ingin mengimbangi pembangunan kaum di negara ini," katanya.

Mahfuz mendakwa, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi turut mengekalkan dasar-dasar yang tidak memihak kepada Melayu yang dibuat oleh Tun Dr Mahathir Mohamed, dengan memperkenalkan beberapa dasar yang aneh seperti mentiadakan ekuiti Melayu dalam pembangunan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) sehingga wilayah itu boleh dikuasai sepenuhnya oleh pelabur asing.

"Sebelum ini, beberapa syarikat berkepentingan nasional seperti Pantai Medical Center dijual kepada pelabur Singapura.

"Kerajaan Umno/BN juga telah mengarahkan supaya Maybank menarik balik syarat ekuiti 50 peratus Bumiputera syarikat guaman yang menjadi panel bank tersebut selepas didesak oleh orang Cina, sedangkan dasar Maybank itu mengimplimentasikan DEB.

"Dasar-dasar yang membunuh kepentingan orang Melayu ini, bukan sekadar gagal mencapai sasaran 30 peratus ekuiti yang ditetapkan oleh DEB, tetapi turut mencabuli hak-hak orang Melayu yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan," tambahnya.

'SAR dilumpuhkan'

Menurut Mahfuz lagi, institusi pendidikan Melayu seperti sekolah agama rakyat (SAR) telah dilumpuhkan oleh dasar pro-Amerika Umno kerana kononnya menyekat keganasan.

"Bahasa Melayu yang merupakan bahasa ketiga terbesar di dunia bukan sahaja tidak lagi dijadikan bahasa ilmu, bahkan dicadangkan untuk ditukar namanya kepada Bahasa Malaysia atas nama perpaduan.

"Orang Melayu yang bangkit pada zaman Tun Razak menerusi dasar menghantar pelajar untuk mendalami bidang sains dan teknologi di Barat melalui biasiswa kerajaan, hari ini dinafikan hak mereka," katanya.

Bahkan, tegas beliau, pelajar universiti tempatan pun terpaksa membuat pinjaman dengan faedah untuk melanjutkan pelajaran.

"Ketika kuota pelajar Melayu di universiti cuba dimeritokrasikan, beberapa institusi pendidikan Melayu seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah dibuka kepada bangsa bukan Melayu.

"Begitu juga nasib tanah rezab Melayu di seluruh negara yang semakin berkurangan, diambil dan tidak diganti. Di bandar-bandar seperti Georgetown dan Kuala Lumpur, tanah rizab Melayu dicerobohi tanpa had. Di Pulau Pinang, nasib orang Melayu seperti telur di hujung tanduk!," katanya

Bagi menutup kelemahan dan penyelewengan ini, katanya, Umno sengaja mengadakan seminar-seminar seperti ini untuk mengangkat peranan tokoh-tokoh seperti Tun Razak dalam membangunkan bangsa Melayu.