Mahkamah tolak rayuan pendakwa terhadap Adun DAP
Mahkamah Tinggi Kuching hari ini menolak rayuan pendakwaan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP bagi Batu Lintang, Voon Lee Shan, yang dilepas dan dibebaskan atas tuduhan melindungi seorang suspek pembunuhan di Kota Samarahan, dekat sini, tujuh tahun lalu.
Mahkamah Tinggi Kuching hari ini menolak rayuan pendakwaan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP bagi Batu Lintang, Voon Lee Shan, yang dilepas dan dibebaskan atas tuduhan melindungi seorang suspek pembunuhan di Kota Samarahan, dekat sini, tujuh tahun lalu.
Hakim David Wong Dak Wah berkata, tidak ada keterangan yang menunjukkan Voon sedang melindungi Hendrick Tan Boon Kai daripada ditahan polis atas dakwaan kes bunuh pada 11 Julai 2000 di perkarangan pejabat daerah Kota Samarahan.
Katanya Voon, seorang peguam dan pengarah pendidikan politik DAP negeri, hanya agresif kerana mahu melindungi anak guamnya dan melaksanakan perintah awal oleh mahkamah di Kota Samarahan untuk membebaskannya tanpa syarat, demikian menurut laporan Bernama.
Voon, yang kelihatan emosi selepas keputusan itu dan memeluk isterinya Wong Jee Luan di luar mahkamah, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret pada 26 Mac 2006 atas dakwaan itu mengikut Seksyen 216 Kanun Keseksaan.
Pada perbicaraan sebelum ini, peguam utama Chong Siew Chiang berkata pendakwaan gagal membuktikan bahawa Voon mempunyai niat untuk menghalang Tan daripada diberkas.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Fazillah Begum Abdul Ghani mengakui bahawa memang tidak ada pertikaian bahawa Voon didakwa kerana mendekati Tan, yang juga anak guamnya, setelah permohonan untuk direman ditolak.
Dalam kenyataan kepada pemberita kemudian, Voon, 53, berkata kes terhadapnya adalah pertama kali di Malaysia dan barisan peguamnya telah melakukan kajian mendalam mengenai undang-undang tetapi tidak menemui kes persamaan seumpama itu di negara-negara Komanwel.
"Kes ini menghantui saya sejak beberapa tahun dan tempoh itu adalah paling mencabar dalam hidup saya. Ia mengambil masa lebih dua tahun sebelum pihak berkuasa mendakwa saya di mahkamah dan saya tidak mengetahui alasannya sehingga hari ini," katanya.
"Anak guam saya, Tan, ditahan dua kali kerana dakwaan membunuh dan kedua-dua kali pun dia tidak didakwa di mahkamah," katanya sambil menjelaskan bahawa beliau tahu Tan tidak bersalah dan menjadi mangsa kekecohan pada malam kejadian itu.
Chong dibantu oleh R.J.Noel, Roger Chin dan Osman Ibrahim manakala Sim Thong Poh menjadi peguam pemerhati bagi pihak Persatuan Preguam Sarawak.

