Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jamal masuk hospital sekali lagi akibat barah paru-paru
Diterbitkan:  Dec 14, 2023 5:46 PM
Dikemaskini: 9:46 AM

Ketua Umno bahagian Sungai Besar, Jamal Md Yunos dimasukkan ke Pusat Perubatan Prince Court untuk menerima rawatan barah paru-paru tahap empat, sekali lagi.

Anaknya, Amin Daniel Jamal memberitahu penyakit barah yang dihidapi bapanya sejak dua tahun lalu kini kembali menyerang organ pernafasan.

“Sebelum ini bapa saya dirawat di sebuah pusat perubatan swasta di sini selepas mengadu sakit dada dan sukar bernafas dengan lancar.

“Selain itu, bapa saya juga mendapat rawatan dengan mengambil ubat-ubatan dari luar negara, namun penyakit kanser itu kembali semula,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Difahamkan, keadaan fizikal Jamal semakin lemah dan berat badannya juga semakin menyusut.

September lalu, Jamal dimasukkan ke hospital selepas rebah, yang dilaporkan akibat keracunan makanan.

Dalam pada itu, Amin Daniel berkata bapanya sedang berehat di hospital swasta berkenaan dan tidak mahu diganggu sehingga keadaannya stabil.

“Buat masa sekarang berilah ruang dan privasi kepada bapa saya untuk menerima rawatan dan fikirannya agak terganggu kerana penyakit kanser.

“Saya harap orang ramai dan kenalan bapa saya dapat mendoakan kesihatan supaya beliau kembali pulih seperti sedia kala,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS