Setiausaha Agung Parti Sarawak Bersatu (PSB), Baru Bian, berkata dia yakin tiada ahli parlimen dari Sabah atau Sarawak akan menyokong langkah mengehadkan jawatan perdana menteri kepada hanya orang Melayu-Islam.

Adun Ba’Kelalan itu turut melahirkan rasa kecewa dengan kenyataan dibuat Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, kerana membuat cadangan sedemikian.

“Tetapi saya percaya beliau sekali lagi cuba mempolitikkan kaum atau agama untuk agenda mereka (PN). Malangnya, ramai yang terjerumus ke dalam falasi ini,” katanya kepada Malaysiakini.

Sambil menegaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan "sangat jelas" mengenai perkara itu, Baru berkata kaum dan agama tidak dinyatakan sebagai prasyarat ke atas seseorang calon perdana menteri.

“Ini bukanlah salah satu syarat yang dipersetujui atau dibayangkan oleh nenek moyang kita di Sarawak dan Sabah.

“Jika (Perdana Menteri) Anwar (Ibrahim) meminda Perlembagaan Persekutuan, saya yakin ahli parlimen Sarawak dan Sabah tidak akan menyokong idea sebegitu,” tambahnya.

Menurut Perlembagaan Persekutuan, satu-satunya keperluan untuk seseorang menjadi perdana menteri - seperti termaktub dalam Perkara 43(2)(a) - ialah individu terbabit mestilah ahli parlimen yang - dalam pertimbangan Yang di-Pertuan Agong - mempunyai sokongan majoriti di parlimen.

Manakala Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan pula mentakrifkan Melayu sebagai seorang individu yang menganut agama Islam, lazim bertutur dalam bahasa Melayu, dan mematuhi adat resam Melayu.

Takrifan itu tidak meliputi Orang Asli atau bumiputera Sabah dan Sarawak.

Sebelum ini Malaysiakini melaporkan Wan Ahmad Fayhsal menggesa agar Anwar meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan jawatan perdana menteri hanya eksklusif untuk orang Melayu-Islam.

Ketua Pemuda Bersatu itu mendakwa langkah tersebut boleh memulihkan sokongan orang Melayu kepada kerajaan yang bergelut untuk menghadapi naratif berasaskan kaum dan agama yang memberi kesan kepada orang ramai.

Sebelum ini veteran DAP, Lim Kit Siang, menyatakan rakyat Malaysia yang bukan Melayu boleh menjadi perdana menteri.

Wan Ahmad Fayshal menuduh Lim sebagai membunuh semangat penubuhan persekutuan yang menekankan perpaduan kaum berdasarkan - antara lain - menghormati kontrak sosial, kehendak raja-raja Melayu, dan "konsensus tidak bertulis".

Ditanya mengenai perkara itu, Baru menjawab: “Kontrak sosial? Saya tak pernah dengar tentang hal ini. Ini kali pertama kali mendengarnya.”

“Kontrak sosial” sering digunakan untuk merujuk kepada kompromi antara populasi majoriti dan etnik di Malaysia. Bagaimanapun, tiada dokumen untuk menunjukkan wujud "kontrak sosial" sedemikian.