Umno kini telah lari daripada landasan perjuangannya dan sesiapa yang mengkritik DAP akan dipecat, kata bekas ahli majlis kerja tertinggi (MKT) parti itu Isham Jalil.

Isham mendakwa dia dipecat kerana lantang mengkritik DAP yang kini menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan yang turut disokong oleh Umno.

"Saya tengok dalam kepimpinan Umno sekarang ni awak jangan sebut (kritik) DAP, awak sebut DAP, tegur DAP kena pecat macam saya ni," katanya dalam wawancara bersama TV Pertiwi.

Pada 6 Dis lalu, MKT Umno membuat keputusan untuk memecat Isham sebagai ahli Umno.

Isham Jalil

Perkara itu dimaklumkan seorang pemimpin Umno yang turut hadir pada mesyuarat MKT Umno itu, namun meminta namanya tidak disiarkan.

Menurut ahli MKT berkenaan Isham dipecat kerana tindakannya mengkritik parti secara keterlaluan termasuk Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tanpa melalui saluran parti.

Malah, dakwa Isham, Umno memecatnya tanpa melalui Jawatankuasa Disiplin parti terlebih dulu.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid menegaskan memadai dengan keputusan MKT.

Ahmad Zahid Hamidi

Isham juga mendakwa kepimpinan Ahmad Zahid sedang merosakkan Umno.

“Hala tuju kita dah silap kita ada satu kapten kapal, nombor satu dia bakar kapal, lepas tu dia bawa kapal kita nak langgar iceberg.

"Kalau kita tak tegur tak boleh mati kita, anak beranak kita dalam kapal...dulu berpuluh tahun perjuangan Umno perjuangkan orang Melayu, Islam.

"Saya tak setuju itu (dasar DAP Malaysian Malaysia) kerana ia ingin menghapuskan hak keistimewaan orang Melayu. Sebab itu dia kata kesamarataan... kesamarataan itu apa? Kalau kesamarataan itu tiadalah hak istimewa orang Melayu," katanya lagi.