Isu PM bukan Melayu: Pembangkang laga-lagakan rakyat, kata Anwar
Pembangkang memainkan isu orang bukan Melayu sebagai perdana menteri untuk "melaga-lagakan" rakyat pelbagai kaum di Malaysia, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Menurut Berita Harian, Anwar berkata pembangkang sering berbuat demikian, antaranya seperti isu persempadanan semula yang sebenarnya tidak berbangkit.
"Seperti juga isu yang diwar-warkan pembangkang mengenai persempadanan semula. Perkara itu tidak berbangkit pun, hanya untuk melaga-lagakan, nak bagi orang lagi marah, orang Cina lagi marah.
"Ia tidak berbangkit dan dia (pembangkang) tidak faham perlembagaan. Perlembagaan membolehkan kita mengkaji semula persempadanan itu pada akhir 2026 sahaja.
"Nak sibuk pasal apa… carilah modal untuk bantu bagaimana mahu angkat ekonomi, nak kurangkan beban rakyat. Jangan duk ajak bergaduh sahaja… tak letih ke," katanya seperti dipetik.
Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan siasatan polis terhadap veteran DAP Lim Kit Siang berhubung kenyataannya berkenaan perkara itu.
Terdahulu, Lim mengundang kecaman sejumlah ahli politik dan pertubuhan selepas membangkitkan kemungkinan untuk individu bukan Melayu menjadi perdana menteri Malaysia.
Berhubung isu persempadanan semula, Anwar dipercayai merujuk kepada ucapan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin ketika PRK Pulai di Johor pada September lalu.
Ketika itu, Muhyiddin menggesa pengundi agar menafikan majoriti dua pertiga kerusi parlimen yang dimiliki kerajaan dengan menyokong calon PN.
Dalam perkembangan berlainan, Anwar berkata dia telah mengarahkan Menteri Kesihatan yang baru, Dr Dzulkefly Ahmad untuk memantau keadaan wabak Covid-19 di negara ini.
Dia juga menasihati orang ramai untuk memberi lebih perhatian kepada kesihatan mereka, susulan peningkatan kes wabak itu.
"Dia (Dzulkefly) sudah pantau (peningkatan kes) walaupun kesannya tidak serius tetapi minta orang waspada dari sudut kesihatan," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/10/e78f3077c827358655d761445b411c59.jpg)
