Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berjaya memertabatkan bahasa Melayu tetapi masih gagal meletakkan bahasa itu ke tahap sepatutnya, kata Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Yusri Mohamad.

Beliau berkata, bahasa Melayu masih gagal dijadikan bahasa perantaraan antara semua kaum di negara ini.

Katanya, masih ada rakyat Malaysia yang tidak boleh berbahasa Melayu dengan baik walaupun telah menjadi bahasa rasmi sejak dahulu lagi..

"Rakyat yang perlu dipersalahkan sekiranya mereka tidak tahu berbahasa Melayu kerana mereka tidak mengambil inisiatif untuk mempelajarinya," katanya ketika diminta mengulas sambutan 51 tahun DBP semalam.

Selain itu, katanya, terdapat dasar dan sistem di negara ini yang tidak memberi ruang untuk perubahan dan DBP perlu berperanan untuk menangani masalah ini

Sementara itu, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) pula menyatakan bahawa tujuan penubuhan DBP adalah untuk memartabatkan bahasa Melayu.

Pandangan GPMS

Timbalan Presidennya, Syed Anuar Syed Muhammad berkata, DBP telah berjaya mendaulatkan bahasa Melayu sepenuhnya.

Katanya, penukaran bahasa bagi matapelajaran Sains dan Matematik tidak menjejaskan kedudukan bahasa Melayu kerana dasar ini bertujuan untuk mempertingkatkan kualiti pelajar agar mereka mampu bersaing di peringkat global.

"Bahasa Melayu tidak diabaikan dan masih diberi keutamaan dalam pelajaran," katanya.

Syed Anuar berkata, cadangan yang dibuat oleh Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr Firdaus Abdullah untuk menjadikan matapelajaran Sastera Melayu sebagai subjek wajib untuk pelajar tingkatan satu hingga enam merupakan cadangan yang baik.

Bagaimanapun, katanya, cadangan ini memerlukan kajian Kementerian Pelajaran di segi kemudahan, masa dan peperiksaan sebelum melaksanakannya.